KOTA BHARU - Seorang pemilik restoran didakwa di Mahkamah Sesyen selepas didapati menggunakan logo halal tidak sah di sebuah restorannya di bandar ini.
Hakim, Zulkifli Abblah mengarahkan Orang Kena Saman (OKS) Lim Beng Hee, 48, membayar ikat jamin berjumlah RM8,000 sementara menunggu tarikh untuk fakta dan hukuman.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu melakukan kesalahan pada 18 November tahun lalu kira-kira jam 12.46 petang di sebuah premis di Jalan Temenggong.
Beng Hee didapati memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa.
Perlakuan berkenaan didapati melanggar Perintah 4(1)(a) &
(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Perintah 8 (b) Perintah yang sama dan boleh dihukum di bawah Perintah 8 (B) Perintah yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Perintah 8 (B) - Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan 13 Mei sebagai tarikh untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri sementara OKS tidak diwakili peguam.
Sebelum ini tular sebuah restoran yang beroperasi lebih separuh abad dikenakan tindakan oleh KPDN kerana menggunakan logo halal tak sah.
Semakan KPDN mendapati premis terbabit pernah memohon sijil halal pada 2021 tetapi tidak lulus.
Pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempamerkan logo halal tanpa sijil sah dan kesalahan itu melanggar Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
"Turut dirampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) serta dua unit banting pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai menjadikan nilai rampasan RM150," katanya dalam kenyataan pada Isnin.