KUALA PILAH - Seorang lelaki yang didakwa melakukan keganasan rumah tangga hingga mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dalam kejadian di Taman Wira Jaya, di sini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Selasa.
Tertuduh, Lee Jia Cheng, 32, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret, Yusna Khadijah Md Yusop selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan dengan menggigit dahi, tangan, dan bahu isterinya yang juga berusia 32 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 1 April lalu, jam 3.20 pagi.
Berikutan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Untuk hukuman di bawah Seksyen 326A, tertuduh berdepan penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen yang relevan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahana Athirah Yaccob memohon agar tiada jaminan diberikan memandangkan pengadu dan tertuduh adalah pasangan suami isteri, bagi mengelakkan lelaki itu mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mahkamah turut membenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi atau pihak ketiga sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Menerusi laporan Sinar Harian, mangsa nekad membuat laporan polis selepas mendakwa telah dikasari suaminya sebanyak tiga kali sejak 2022.
Mangsa berusia 32 tahun itu mendakwa sebelum ini pernah membuat laporan polis tetapi menarik balik laporan tersebut selepas dipujuk keluarga yang tidak mahu isu rumah tangga itu diperbesarkan.
Dalam kejadian terbaharu, tertuduh yang pulang dalam keadaan mabuk dikatakan telah memukul mangsa menggunakan tangan serta menggigit mangsa di beberapa bahagian anggota badan hingga mendatangkan kecederaan.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.