SHANGHAI – Seorang pramugari mengalami kecederaan ringan selepas digigit oleh penumpang ketika cuba meleraikan satu pergaduhan fizikal antara dua wanita dalam penerbangan dari Shenzhen ke Shanghai pada 1 April lalu.
Menurut kenyataan rasmi Shenzhen Airlines, insiden berlaku sebelum pesawat berlepas apabila dua penumpang wanita yang duduk berhampiran mula bertengkar.
Seorang daripada mereka mengadu tentang bau badan penumpang lain, manakala seorang lagi membalas dengan menyatakan tidak tahan dengan bau minyak wangi yang terlalu kuat.
Pertelingkahan itu kemudiannya bertukar menjadi pergelutan fizikal, memaksa dua pramugari dan dua kru lelaki campur tangan untuk meleraikan mereka.
Bagaimanapun, ketika pergaduhan sedang berlaku, salah seorang pramugari menjerit,"Buka mulut kamu, kamu telah gigit saya!” seperti yang dirakam dalam satu klip video yang tular.
Pramugari berkenaan dilaporkan mengalami luka ringan pada bahagian lengan dan segera dihantar ke hospital untuk rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil dan tidak serius.
Pihak polis kemudian tiba di tempat kejadian dan membawa keluar kedua-dua penumpang yang terlibat.
Semua penumpang lain diminta turun dari pesawat dan hanya dibenarkan naik semula selepas dua jam.
Shenzhen Airlines dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihak syarikat sentiasa berusaha melindungi hak dan keselamatan penumpang serta kakitangan.
Mereka turut menggesa semua penumpang agar mematuhi peraturan dan menjaga tatasusila ketika menaiki pesawat.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial China, dengan ramai pengguna mendesak agar kedua-dua wanita terbabit disenarai hitam daripada menggunakan sebarang perkhidmatan pengangkutan awam pada masa hadapan.
"Orang sebegini tidak patut dibenarkan menaiki kapal terbang atau kereta api. Mereka boleh membahayakan orang lain di mana-mana sahaja,” kata seorang pengguna Weibo.
Seorang lagi menulis,"Betapa sukarnya pekerjaan sebagai pramugari. Saya harap kakitangan yang digigit itu segera mendapatkan vaksin atau pemeriksaan lanjut untuk elak sebarang jangkitan.”
Kes melibatkan kekecohan penumpang dalam penerbangan bukan perkara baharu di China.
Tahun lalu, dua lelaki bertumbuk dalam pesawat dari Taipei ke Los Angeles kerana berebut tempat duduk, menyebabkan seorang pramugari turut mengalami kecederaan ketika cuba meleraikan mereka. - Agensi