SHAH ALAM - Perkhidmatan rumah transit RM1 di Putrajaya kini ditawarkan kepada ahli keluarga pesakit barah yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya atau Institut Kanser Negara (IKN) untuk bermalam.
Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, rumah transit yang terletak di Presint 17 itu disumbangkan oleh seorang individu yang juga pemilik kediaman tersebut.
Menurutnya, inisiatif itu diambil bagi mengurangkan beban ditanggung keluarga yang diduga dengan penyakit tersebut.
"Kami benar-benar memahami kebimbangan dan bebanan yang perlu ditanggung oleh saudara-mara setiap malam. Kami hanya mengenakan bayaran RM1 untuk satu malam.
"Bagi mereka yang memerlukan pengangkutan ke rumah juga hanya bayar RM1, kami juga menyediakan pengangkutan percuma," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mana-mana pihak yang memerlukan penginapan tersebut boleh memaklumkan perkara tersebut kepada unit sosial hospital dan pihaknya akan menguruskan tindakan lanjut.
"Semoga Perkhidmatan kami ini akan diberkati demi kesihatan dan kami menghulurkan tangan kepada mereka yang sakit," katanya.
Tambah Uncle Kentang, bagi melancarkan urusan pengangkutan, pihaknya menerima tajaan petrol daripada sebuah syarikat minyak terkenal.
"Sila hubungi kami di 018-268 3999 (Mr Kuan/Uncle Kentang) dan 012-350 2781 (Mahadie Chan/KC PVATM Cawangan Putrajaya)," katanya.