Kanak-kanak tiga tahun cedera tercampak keluar dari kenderaan

Iklan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas dipercayai terjatuh dari kenderaan yang dipandu bapanya pada Isnin. Foto ihsan PDRM

LIPIS - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di bahagian muka selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Lipis-Merapoh pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berada di kerusi penumpang belakang kenderaan Proton Iswara Aeroback yang dipandu bapanya sedang dalam perjalanan dari Kampung Tempoyang untuk pulang ke rumahnya di Kampung Berembang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta iaitu lelaki warganegara tempatan berusia 36 tahun bersama mangsa dalam perjalanan dari sebuah kedai perkakasan di Tempoyang menghala ke simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit terjatuh dari kenderaan melalui tingkap belakang di sebelah kiri yang terbuka ... ketika itu, pemandu yang berumur 36 tahun memberhentikan kenderaan untuk menjawab panggilan telefon.

"Bagaimanapun, bapanya tidak sedar insiden terbabit dan meneruskan perjalanan sehingga di Kilometer 7 Jalan Lipis-Merapoh, kemudian dia menyedari anaknya tiada di dalam kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, pemandu kereta tersebut telah cuba mencari namun gagal lalu pergi ke Balai Polis Kuala Lipis untuk membuat laporan.

Jelas beliau, dalam masa sama, terdapat orang awam yang melalui jalan tersebut telah menjumpai kanak-kanak terbabit di tepi jalan lalu menghantar ke Balai Polis Padang Tengku.

Iklan

"Setibanya di Balai Polis Kuala Lipis, bapa kanak-kanak itu dimaklumkan anaknya berada di Klinik Kesihatan Padang Tengku.

"Siasatan awal mendapati dipercayai kanak-kanak tersebut terjatuh dari kenderaan melalui tingkap pintu belakang kiri yang terbuka ketika bapanya memberhentikan kereta untuk mengangkat panggilan telefon," tambahnya.

Katanya, kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan(KK).

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Kita juga ingin menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik dan selamat," jelasnya lagi.

Tamat..