Kanak-kanak perempuan maut tercampak keluar dari kereta

Iklan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM147.3 LPT arah timur pada Isnin. Foto ihsan PDRM

MARAN - Perjalanan empat beranak bertukar tragedi selepas seorang anak mereka maut apabila tercampak daripada kereta yang dinaikinya dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, mangsa, Nurul Lara Maisarah Mohd Hafiz, 7, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan Honda Civic.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa Honda Civic itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Iklan

"Ketika kejadian, cuaca hujan. Tiba-tiba Honda Civic dipandu ibu mangsa berusia 31 tahun hilang kawalan lalau terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan.

"Akibatnya, mangsa telah tercampak keluar ke laluan bertentangan dan jatuh mengenai cermin besar hadapan Perodua Myvi di laluan bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Keadaan cermin kereta Perodua Myvi yang pecah selepas dihempap mangsa dalam kejadian tersebut pada Isnin. Foto ihsan PDRM

Iklan

Ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Pekan Awah dan seorang lagi anak pasangan itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun mengalami kecederaan ringan.

"Pemandu Honda Civic dan suaminya berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 57 tahun bersama isterinya, 54, serta anak lelaki, 11, cedera ringan dan sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh," katanya lagi.

Jelasnya, kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan selain mengesan saksi bebas kejadian.

Ujarnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.