Merusuh guna pedang samurai, parang selepas motosikal lumba haram dirampas

Iklan
Tangkap layar video menunjukkan rusuhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan motosikal yang dirampas dalam kegiatan lumba haram. Foto: ihsan pembaca

IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan parang dan pedang samurai dalam kejadian di Jalan Meru Bestari dekat Meru Raya di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 41 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan sekitar jam 6.45 pagi pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebuah kereta jenis BMW Model E90 3 Series berwarna putih, sebatang kayu golf dan pengunci stereng kereta berwarna biru dirampas.

"Laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun pada jam 12.30 tengah malam yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata.

Iklan

"Siasatan awal polis mendapati motif kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan motosikal yang dirampas dalam kegiatan lumba haram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Kayu besbol dan kayi golf turut dirampas daripada suspek. Sebuah kereta jenis BMW Model E90 3 Series berwarna putih turut dirampas. Foto: ihsan polis

Abang Zainal Abidin berkata, seramai enam mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Iklan

"Senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian adalah kayu besbol, parang, pedang samurai, topi keledar dan pisau panjang.

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati dua daripada sembilan suspek mempunyai rekod bersabit kes dadah dan jenayah.

"Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepin dan seorang lagi suspek positif tetrahydrocannabinol (THC)," katanya.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap empat suspek dibenarkan selama tiga hari manakala lima lain ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merusuh menggunakan senjata.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Al Hakim di talian 011-11256246 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.