Lelaki didenda RM5,000 iklan produk merokok

Iklan
Kesalahan dikesan semasa Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Pahang pada Januari lalu. Foto ihsan JKNP

KUANTAN - Seorang lelaki berusia 35 tahun didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret Bentong pada Isnin setelah mengaku bersalah mengiklankan produk merokok pada papan iklan yang dipasang di bahagian atas bumbung luar kedainya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), kesalahan itu dikesan semasa Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam (OSKA) Peringkat Negeri Pahang yang dijalankan pada Januari lalu.

Iklan
Iklan

Pemilik perniagaan selaku orang kena saman (OKS) itu merupakan individu pertama di Pahang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(c), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

"OKS mengaku bersalah selepas didapati memaparkan iklan produk merokok yang mengandungi tawaran untuk membeli produk tersebut, yang jelas melanggar undang-undang yang telah berkuat kuasa,” kata pihak JKNP.

Iklan

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Bentong.

Mengikut Akta 852, hukuman maksimum bagi kesalahan pertama individu adalah denda RM20,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Namun, dalam kes ini, OKS dikenakan denda RM5,000, dan jika gagal menjelaskan denda tersebut, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.

JKNP menegaskan pihaknya memandang serius kesalahan di bawah Akta 852 seperti larangan pengiklanan produk merokok.

"Tindakan mengiklankan produk merokok boleh menggalakkan orang ramai khasnya golongan kanak-kanak dan remaja membeli seterusnya menggunakan produk berkenaan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan," ujarnya.

Pihaknya juga berharap keputusan ini memberi mesej yang jelas kepada pemilik perniagaan agar mematuhi peraturan undang-undang yang terkandung dalam Akta 852 yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober 2024.