Gadis OKU hilang, rupa-rupanya diculik

Iklan
Tangkap layar kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah Perodua Kelisa berwarna perak yang terlibat dalam kes kehilangan seorang gadis OKU dari taman permainan di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, Melaka pada Sabtu.

MELAKA - Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, di sini pada Ahad disahkan diculik seorang lelaki yang membawanya sejauh 510 kilometer sebelum mangsa dijumpai di Sungai Petani, Kedah pada Isnin.

Perbuatan berkenaan terbongkar selepas polis berjaya menahan suspek, peniaga berusia 40 tahun yang melarikan remaja berusia 18 tahun itu menaiki sebuah Perodua Kelisa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki itu berjaya ditahan di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 4 pagi, Isnin.

Katanya, siasatan awal turut mendapati suspek mengaku tidak mengenali gadis tersebut, namun membawa mangsa menaiki kereta untuk bersiar-siar di beberapa lokasi termasuk Seremban, Ipoh, Bukit Mertajam dan kampungnya di Baling, Kedah.

Iklan

"Setakat ini, pemeriksaan fizikal luaran terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan.

"Bagaimanapun, keluarga remaja OKU berkenaan telah membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Jelas Christopher, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan pengambilan dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,

CHRISTOPHER

Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki tersebut tidak menemui sebarang barang terlarang.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai pada Sabtu lalu.

Kehilangan mangsa, Nurin Wardina Hairi disedari ibunya yang berusia 47 tahun kira-kira jam 5.30 petang, selepas mendapati anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah.

Sebelum kejadian, ibu mangsa ada terlihat sebuah kereta Perodua Kelisa yang diletakkan berhampiran rumah mereka dalam keadaan mencurigakan.