SUBANG JAYA - Luka perlu dicuci setiap hari selain terpaksa tanggung sakit setiap malam antara kesan yang perlu dihadapi mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.
Kakitangan Kumpulan Karangkraf, Muhammad Amirul Azhar Mohd Yasin, 28, berkata, dia mengalami kecederaan melecur di kedua-dua kaki, lengan kiri serta bahagian leher selain kediaman dan kenderaan musnah keseluruhan.
Menurutnya, selain itu ahli keluarganya termasuk ibu mentua dan isteri turut melecur ketika cuba menyelamatkan diri daripada bahang panas melampau.
"Berdasarkan maklumat yang diberi doktor, proses pemulihan ini memang ambil masa.
"Saya perlu 'dressing' setiap hari, makan ubat tahan sakit dan malam memang akan rasa berdenyut," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Isnin.
Turut hadir melawat ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.
Mengulas lanjut, Muhammad Amirul yang bertugas sebagai Eksekutif Sumber Manusia berkata, semasa kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dia berada di kediaman mentuanya di Kampung Kuala Sungai Baru bersama lapan ahli keluarga lain termasuk isteri, ibu dan bapa mentua.
Menceritakan detik kejadian ujarnya, dia terdengar seperti bunyi enjin kapal terbang sebelum melihat kebakaran terbabit.
"Saya segera masuk ke dalam rumah meminta semua lari keluar. Saya lari tanpa berselipar, memang rasa macam lari atas besi yang panas.
"Saya dan ahli keluarga lain sempat berlindung di belakang bangunan, manakala isteri, nenek berusia 85 tahun serta adik ipar dibantu jiran.
"Waktu itu tak rasa kaki melecur, bila sudah basahkan badan baru sedar kaki melecur, waktu itu kulit sudah mula melepuh dan memang rasa macam cacing kepanasan," katanya.
Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, beliau bagi pihak Karangkraf mengucapkan takziah di atas apa yang berlaku dan menyifatkan tragedi yang menimpa Muhammad Amirul Azhar itu cukup dahsyat.
"Bahang api menyebabkan mereka ini cedera dan ini antara bencana terburuk. Namun saya yakin dengan kemudahan perubatan, mereka sekeluarga akan pulih sedia kala.
"Saya harap pihak berwajib bantu membina semula kehidupan baharu penduduk yang terjejas," ujarnya.