Pelakon veteran Noor Azizah selamat dikebumikan

Iklan
Nik Hussain (kiri) yang dibantu menantunya, Nur Zulaikha Azman, 35, menyiram pusara Noor Azizah selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, Ipoh pada Isnin.

IPOH - Jenazah pelakon veteran, Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya awal pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini pada Isnin.

Allahyarham Noor Azizah, 78, yang menghidap sakit buah pinggang meninggal dunia akibat kesesakan nafas telah selamat dikebumikan pada jam 2.50 petang.

Iklan
Iklan

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya di Kampung Sungai Rapat sebelum disembahyangkan di Masjid Paloh di sini dengan dihadiri kira-kira 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan penduduk sekitar selepas solat Zuhur.

Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, bersama dua anak iaitu Khairena Abd Rashid, 38, dan Khairi Nik Hussain, 34.

Iklan

Menurut Khairena, pemergian Allahyarham amat mengejutkan apabila mereka sempat makan malam bersama dan menyaksikan bunga api.

"Pagi tadi bapa dapatkan saya sekitar jam 1 pagi ketika ibu mengalami sesak nafas. Melihat keadaan ibu, saya mula rasa tidak sedap hati dan terus menghubungi ambulans.

Iklan

"Setibanya ambulans, ibu sudah tidak sedar diri dan ketika pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sehingga dimaklumkan sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Yong Arbeya Abd Rahman, 69, berkata, Noor Azizah dikenali keluarga sebagai seorang peramah, lemah lembut dan rajin memasak.

Katanya, pelakon veteran itu juga amat pemurah dan tidak lokek memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

"Setiap tahun arwah akan bersedekah termasuk 10 rumah anak-anak yatim malah di Masjid Paloh ini sendiri banyak yang disumbangkan.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah semalam ketika datang beraya ke rumahnya. Dia nampak gembira seperti biasa selalu ketawa," katanya.

Dj Dave menghadiri pengebumian Noor Azizah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, Ipoh pada Isnin.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk DJ Dave ketika ditemui pula menyifatkan pemergian Allahyarham Noor Azizah satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air.

Allahyarham Noor Azizah dikenang menerusi peranannya dalam filem Enam Jahanam arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1969, yang melonjakkan namanya di persada perfileman Melayu.

Noor Azizah mula membuat kemunculan pertama dalam dunia perfileman pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong selain pernah membintangi filem Malin Kundang (1971) di Indonesia bergandingan dengan aktor popular Rano Karno.

Pada 1977, beliau turut berpeluang membintangi produksi luar negara menerusi drama bersiri Australia berjudul Bailey Bird, memegang watak sebagai Dr Susan Lim dan filem Soal Hati pada 2000 menjadi kemunculan terakhir Allahyarham dalam dunia lakonan.