SEPANG – Pembelaan bagi pihak Along Cham memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Isnin bahawa representasi akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tiga kes dadah dihadapi pelawak itu.
Semasa prosiding di hadapan Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan, peguam, Zaleha Al-Hayat berkata, pihaknya baru dilantik untuk mewakili Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42.
Sementara itu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Sutri Patang berkata, dokumen berhubung dua kes memiliki dadah berbahaya jenis kanabis telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Bagaimanapun beliau berkata, laporan berkaitan satu kes, iaitu memasukkan dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' ke dalam badan, akan diserahkan pada prosiding akan datang.
Susulan itu beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh singkat untuk sebutan semula kes terbabit.
Majistret, Muhammad Bukhori kemudiannya memutuskan sebutan semula kes dan status representasi, pada 24 April ini.
Sementara itu, selepas prosiding, Zaleha berkata, pembelaan akan menyerahkan surat berkenaan kepada AGC, selepas semua dokumen diperoleh daripada pihak pendakwaan.
Menurutnya, ia membabitkan dua kes memiliki dadah berbahaya jenis kanabis iaitu di bawah Seksyen 6 dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sementara satu kes memasukkan dadah sama ke dalam badan, mengikut Seksyen 15(1)(a) akta serupa.
"Selepas semua dokumen lengkap diterima, barulah saya akan failkan representasi terbabit.
"Buat masa ini, saya perlu selidik semua dokumen, selepas itu barulah saya maklumkan kepada mahkamah, sama ada mahu menggugurkan, membatalkan atau meminda pertuduhan,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga tetapi tidak lebih sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' ke dalam badan, di lokasi sama, pada jam 10 malam, tarikh sama, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.