Kebakaran gas Putra Heights: Siasatan fokus unsur jenayah, kecuaian - KPN

Iklan
Tan Sri Razarudin Husain

SUBANG JAYA - Unsur jenayah serta kecuaian antara elemen yang meliputi rangkuman siasatan melibatkan insiden letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelbagai faktor boleh menjadi punca kepada kejadian tersebut dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat.

"Selain itu, kemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah permukaan, tekanan tinggi daripada aliran air dan pelbagai faktor lain turut boleh menjadi punca.

Iklan

"Semua ini menjadi aspek siasatan kita," katanya ketika ditemui berhampiran Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights di sini pada Isnin.

Menurutnya, lebih daripada 10 agensi kini terlibat dalam operasi siasatan dan penilaian di lokasi kejadian dan setiap agensi telah diberikan peranan khusus mengikut kepakaran masing-masing.

Iklan

"Fokus kita hari ini adalah pada operasi siasatan di lokasi kejadian, lebih daripada 10 agensi terlibat dan membantu siasatan di sini.

"Keselamatan orang ramai yang berada di kawasan ini, dan juga kesejahteraan secara keseluruhannya, adalah perkara utama yang kita tekankan," katanya.

Beliau berkata, siasatan turut merangkumi aspek geoteknikal melibatkan keadaan tanah di kawasan kejadian.

"Siasatan termasuk dari sudut geoteknikal iaitu keadaan tanah di kawasan ground zero. Itu adalah sebahagian daripada siasatan penting.

"Pihak polis dan pasukan forensik juga sedang menjalankan tugas mereka di lokasi tersebut untuk menilai tahap keselamatan, pasukan bomba pula akan memastikan semua siasatan forensik dilakukan dengan pemantauan keselamatan rapi,” ujarnya.

Tambah Razarudin, keadaan tanah di lokasi kejadian masih belum dapat dipastikan kekukuhannya dan sebarang kemungkinan tidak boleh diketepikan.

"Keadaan tanah di situ, kekuatannya belum dipastikan, bila kita masuk, kita tak tahu sama ada tanah itu kukuh atau tidak.

"Kita takut ada jerlus, dan itu kita perlu pastikan keselamatan semua yang terlibat, kita tidak mahu berlaku apa-apa kecederaan," katanya.

Selasa lalu, kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.