Lelaki serang jiran: Empat individu direman enam hari

Iklan
Kesemua suspek direman selama enam hari hingga 12 April ini bagi membantu siasatan. - Foto ihsan PDRM

MARAN - [DIKEMAS KINI] Empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki berusia 57 maut selepas mencederakan dua jirannya di Felda Jengka Dua di sini pada Ahad direman enam hari hingga 12 April ini

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Afidatul Azwa Kamarulanuar selepas kesemua suspek berusia antara 18 hingga 49 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Maran di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Setakat ini proses bedah siasat lelaki itu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan masih belum selesai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan
Anggota polis berada di lokasi kejadian bagi menyiasat kes. - Foto ihsan PDRM

Dalam pada itu beliau memberitahu mengikut maklumat penduduk, lelaki tersebut sebelum ini seringkali dilihat bercakap sendirian dan seperti berhalusinasi serta kelihatan normal pada hari kejadian sebelum tiba-tiba mengamuk semasa membeli nasi di kedai mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, lelaki terbabit dilaporkan secara tiba-tiba bertindak agresif dan menyerang seorang remaja lelaki berusia 16 tahun serta ibu saudaranya berusia 52 tahun dengan sebilah pisau.

Iklan

Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati lelaki terbabit dengan kedua tangan diikat dan kesan lebam di mata sudah meninggal dunia selepas disahkan oleh pembantu perubatan (MA) Hospital Jengka.

Wanita diserang lelaki terbabit sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan keadaannya dilaporkan stabil manakala remaja itu sudah dibenarkan keluar.