Kerosakan rumah akibat letupan paip gas dianggar RM65.4 juta

Iklan
Kebakaran yang berlaku melibatkan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Kerosakan rumah yang terjejas dalam kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini dianggarkan berjumlah RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika kejadian telah berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.

Menurutnya, pemeriksaan itu dijalankan ke atas 437 rumah yang dikategorikan musnah sepenuhnya, separa rosak atau terjejas namun tidak terbakar.

Iklan

Amirudin

"Kediaman telah dibahagikan kepada tiga tahap kerosakan, musnah sepenuhnya (lebih daripada 40 peratus kerosakan struktur), sebahagian rosak (kurang daripada 40 peratus kerosakan struktur), terjejas tetapi tidak terbakar (tiada kerosakan struktur).

Iklan

"Daripada jumlah ini, 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas akibat kebakaran tetapi struktur masih utuh,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Isnin.

Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 kediaman lagi terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh diduduki selepas melalui proses pembaikan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, baki 218 rumah lagi telah diperiksa dan didapati tidak terjejas dan sebanyak 151 rumah diisytiharkan selamat untuk didiami semula setakat jam 11 pagi Isnin.

"Pemilik dan penghuni rumah ini telah dibenarkan pulang tetapi mungkin ada yang mengalami kerosakan kecil perlu ditanggung oleh pemilik dan dibaiki sewajarnya.

"Senarai mangsa telah dimuktamadkan setakat jam 6 petang semalam (Ahad), kerana pendaftaran ditutup secara rasmi pada tengah hari.

"Kami telah merekodkan sejumlah 613 isi rumah daripada 437 rumah itu. Ini termasuk penyewa yang tinggal di bilik sewa atau lot dalam hartanah terjejas yang telah didaftarkan atau dikenal pasti," ujarnya.