INDUSTRI perfileman tanah air kehilangan seorang lagi bintang veteran apabila pelakon disegani ramai, Datin Noor Azizah Azizul Hassan menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi pada usia 79 tahun.
Menurut sumber terdekat, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh sekitar jam 3 pagi akibat kesesakan nafas.
Berita duka itu disahkan oleh anak Allahyarham, Khairena kepada wartawan hiburan veteran, Muzlina Abu Bakar yang juga merupakan rakan karib beliau.
Sepanjang kerjayanya dalam dunia seni, Allahyarham Noor Azizah dikenang menerusi peranannya dalam filem Enam Jahanam arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada tahun 1969, yang melonjakkan namanya di persada perfileman Melayu.
Penglibatan Allahyarham dalam industri berlaku secara kebetulan ketika beliau mengunjungi Studio Jalan Ampas di Singapura. Kejelitaan dan karismanya ketika itu telah mencuri perhatian seniman terkenal Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang kemudian menawarkan beliau peranan tambahan dalam filem Dayang Senandong (1965).
Bakatnya tidak terhad dalam negara, malah Allahyarham pernah menerima tawaran membintangi filem Malin Kundang (1971) di Indonesia, bergandingan dengan aktor popular Rano Karno.
Menariknya, pada 1977, beliau turut berpeluang membintangi produksi luar negara menerusi drama bersiri Australia berjudul Bailey Bird, memegang watak sebagai Dr Susan Lim.
Pemergian Allahyarham Noor Azizah satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air yang pernah menyaksikan bakat, kecantikan dan komitmen beliau sebagai pelakon generasi emas.- Awani