Demi tular lelaki sanggup jual barang kemas isteri bina kereta katil

Iklan
Nawab mencuba kereta katil dibinanya sebelum ia dirampas kerana menyebabkan kesesakan lalu lintas. - Foto: Agensi

NEW DELHI – Seorang lelaki sanggup menjual barang kemas isterinya demi membina sebuah kereta katil sekali gus menunaikan impian untuk menjadi tular di media sosial di Murshidabad, negeri Bengal, India.

Nawab Sheikh, 27, dari Shambhunagar, mencipta kenderaan unik berbentuk katil lengkap dengan bantal dan cadar yang membolehkan ia dipandu di jalan raya.

Iklan
Iklan

Menurut Nawab, dia mengambil masa lebih setahun dan membelanjakan lebih RM12,000 (Rs2.5 lakh) untuk menyiapkan projek tersebut.

"Saya hanya ada satu impian, iaitu untuk menjadi tular. Saya habiskan lebih RM12,000 bagi membeli alat ganti seperti enjin, stereng dan tangki minyak.

Iklan

"Seorang tukang kayu turut diupah untuk membina struktur katil itu," katanya.

Katanya lagi, walaupun hanya meraih gaji sekitar RM500 sebulan, dia mampu membiayai projek kereta katil itu selepas menjual barang kemas milik isterinya, Meher Negar.

Iklan

Rakaman video menunjukkan Nawab memandu katil tersebut sambil bersandar dengan santai, malah sempat membuat gaya ikonik pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan, turut mencuri tumpuan netizen dengan jumlah tontonan melebihi 64 juta kali di media sosial.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pihak polis bertindak merampas kenderaan unik berkenaan selepas ia menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Malah, Nawab turut berdepan isu hak cipta apabila sebuah saluran media dari Bangladesh memuat naik videonya tanpa kebenaran, menyebabkan akaun Facebook miliknya disekat.