Tiga pekerja maut terperangkap dalam lubang pembetung

Iklan
Pasukan bomba dan orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam lubang pembetung di Sumpitan, Lenggong. Foto ihsan Bomba Perak

LENGGONG - Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan di sini pada Ahad.

Dalam kejadian itu, lima pekerja lain yang turut terperangkap berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal kejadian diterima pada jam 10.08 pagi dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong diatur gerak ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan di Sumpitan, Lenggong pada Ahad. Foto ihsan Bomba Perak

Menurut beliau, ketujuh-tujuh mangsa dilaporkan terperangkap dalam lubang berkenaan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Iklan

"Setibanya di lokasi kejadian, lima pekerja telah dibawa keluar oleh orang awam dan dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran manakala terdapat dua lagi pekerja masih terperangkap di dalam lubang pembetung sedalam 2.4 meter itu.

"Operasi mengeluarkan mangsa dilaksanakan dengan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan alat pernafasan untuk turun ke dalam pembetung itu.

Iklan

"Anggota kemudiannya mengikat mangsa berusia 29 dan 37 tahun itu dengan menggunakan tali sebelum ditarik keluar dari lubang pembetung," katanya di sini.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pekerja warga Indonesia meninggal dunia ketika terima rawatan di hospital. Foto ihsan Bomba Perak

Sabarodzi berkata, kedua-dua mangsa yang berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Seorang lagi mangsa warga Indonesia yang berjaya dibawa keluar oleh orang awam dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Operasi tamat pada jam 12.25 tengah hari," katanya.