Penganggur maut tercampak motosikal bertembung kereta

Iklan
Seorang penganggur maut dalam satu kemalangan melibatkan motosikal dan sebuah kereta berhampiran Lapang Sasar Kampung Hijrah, Jalan Cherok Paloh, awal pagi Ahad. Foto Polis Trafik Kuantan. Gambar kecil: Wan Mohd Zahari

KUANTAN - Seorang penganggur maut selepas tercampak ke bahu jalan selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta berhampiran Lapang Sasar Kampung Hijrah, Jalan Cherok Paloh di sini pada Ahad.

Mangsa, Muhammad Harisz Safwan Suhaimi, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 ZR, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian sekitar jam 2.15 pagi itu, kereta Proton Wira yang dipandu seorang wanita berusia 44 tahun, dalam perjalanan dari Kuantan ke Pekan.

"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan.

Iklan

"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah yang menyebabkan kematian di tempat kejadian," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan pemandu, penumpang hadapan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang berada dalam kenderaan mengalami kecederaan.

Iklan

"Mereka kini menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.