Kes ragut tular, polis buru tiga suspek

Iklan
Polis giat mengesan tiga suspek yang terlibat dalam dua kejadian ragut sebagaimana yang tular di media sosial pada Jumaat.

SEGAMAT - Polis giat mengesan tiga suspek yang terlibat dalam dua kejadian ragut sebagaimana yang tular di media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, hasil semakan mendapati salah satu daripada video berdurasi 2.31 saat itu berlaku di Segamat sementara satu lagi video tidak dapat dipastikan lokasinya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku di Taman Astakajaya 1, Buloh Kasap pada Rabu sekitar jam 7.08 malam.

"Satu lagi lagi video memaparkan mangsa bersama rakannya didatangi tiga individu tidak dikenali yang menunggang dua motosikal secara tiba-tiba, salah seorang suspek turun dari motosikal dan merentap ranti leher emas yang dipakai mangsa hingga menyebabkan mangsa cedera akibat terjatuh.

Iklan

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran tempat kejadian, suspek dikenal pasti berbadan kurus, berkulit sawo matang, memakai jaket warna hitam lengan panjang dan berseluar gelap selain memakai topi keledar warna hitam dengan visor gelap dan menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja RR150 dan Yamaha Y15ZR warna hijau,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Iklan

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Segamat di talian 07-9324222 bagi membantu siasatan.