PKS dijangka kurangkan pekerja, berisiko tutup operasi

Iklan
Kebanyakan syarikat PKS di Malaysia dijangka menstrukturkan semula perniagaan mereka susulan pelaksanaan tarif balas sebanyak 24 peratus diumumkan AS. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung sepenuhnya kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) dijangka mengambil langkah mengurangkan bilangan pekerja asing sedia ada atau menghadkan tempoh masa bekerja, sekiranya mereka gagal mendapat pasaran baharu.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, antara sektor yang dijangka terkena tempias pelaksanaan tarif balas sebanyak 24 peratus diumumkan AS ke atas barangan tertentu dari Malaysia adalah pembuatan berasaskan getah, elektrik dan elektronik, perabot serta makanan dan minuman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya PKS tiada kekuatan modal aliran pusingan kewangan yang kukuh, kesan tersebut juga akan menyebabkan beberapa syarikat terpaksa menghentikan operasi atau terpaksa mencari alternatif baharu demi kelangsungan perniagaan mereka.

Laporn muka depan Sinar Harian pada 4 April lalu.

"Saya jangka kebanyakan syarikat PKS di Malaysia akan menstrukturkan semula perniagaan mereka bagi menganalisis dan merancang strategi impak kenaikan tarif ini bagi mengurangkan risiko kerugian, sebaliknya cuba mengekalkan margin keuntungan dan kos pengeluaran.

Iklan

"Kedua-dua pemboleh ubah, iaitu bilangan pekerja asing dan tempoh masa masa bekerja merupakan kos berubah. Namun jika berjaya dapat pasaran baharu yang lebih baik dan luas, maka kos berubah ini dapat ditingkatkan semula supaya bilangan pengeluaran produk PKS dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kenaikan tarif oleh AS dijangka kurang memberikan kesan kepada syarikat PKS yang tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran AS, sebaliknya perkembangan itu memberi peluang tambahan untuk memperluas pasaran selain AS demi meningkatkan keuntungan syarikat mereka kelak.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan, kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian subsidi bagi membantu pengilang eksport tempatan yang mungkin turut terkesan.

Ahmed Razman

"Pada masa yang sama, membantu meneroka pasaran alternatif melalui pelbagai perjanjian unilateral antarabangsa yang telah ditandatangani sebelum ini iaitu RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau), CPTPP (Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik) dan BRICS (pakatan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan),” katanya.

Beliau juga senada bahawa Malaysia berpotensi dijadikan hab pelaburan strategik di rantau ini, khususnya dalam sektor pembuatan dan eksport untuk menembusi pasaran AS dengan lebih efisien.