TELUK INTAN – [DIKEMAS KINI] Polis menerima tiga laporan berhubung penularan sebuah video memaparkan sekumpulan murid menyanyikan lagu kebesaran negeri Perak yang disalah tafsir sebagai lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa lain.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, video berdurasi 3 minit 40 saat itu dirakam ketika Majlis Pelancaran Kelab Tarian Naga di sebuah sekolah di Teluk Intan pada 6 Jun 2024.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lagu yang dinyanyikan dalam video tersebut bukan lagu kebangsaan, sebaliknya lagu kebesaran negeri Perak.
"Video tersebut tular selepas seorang pempengaruh politik memuat naiknya di media sosial dan mempertikaikan kononnya lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa selain Bahasa Malaysia.
"Pempengaruh tersebut turut mendakwa video berkenaan melanggar protokol lagu kebangsaan dan memetik Seksyen 2 Akta Lagu Kebangsaan 1968,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Bakri berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
"Tindakan menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang.
"Semak dahulu kesahihan maklumat sebelum berkongsi,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial seorang pempengaruh politik memuat naik video tersebut dengan menyatakan kesalahan menyanyikan lagu Negaraku dengan bahasa lain.
Bagaimanapun pempengaruh berkenaan sudah pun memohon maaf terhadap penyiaran video tersebut.