Aliran trafik sesak hingga 20km di Gua Musang

Iklan
Kenderaan bergerak perlahan dan pertambahan trafik dijangka berterusan hingga malam Ahad. Foto Bernama

KOTA BHARU - Aliran trafik di jalan Persekutuan di Gua Musang sesak hingga 20 kilometer (km) pada Sabtu berikutan pertambahan kenderaan orang ramai yang pulang ke ibu kota selepas cuti sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kesesakan berlaku di pintu masuk sempadan Gua Musang-Kuala Lipis sejak pagi tadi hingga 6.30 petang.

Iklan
Iklan

"Kesesakan bermula dari bandar Gua Musang hingga ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, kira-kira sepanjang 15km hingga 20km.

"Anggota polis menjalankan penyuraian dan penarikan trafik bagi membolehkan pergerakan lebih lancar,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, kenderaan bergerak perlahan dan pertambahan trafik dijangka berterusan hingga malam esok.

Sementara itu, aliran trafik di jalan keluar masuk Pasir Puteh-Terengganu termasuk di pintu sempadan Tok Bali-Kuala Besut dilaporkan lancar, namun perlahan setakat 6.30 petang.

Iklan

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, peningkatan jumlah kenderaan dari kedua-dua arah juga dijangka berterusan hingga malam esok.

"Aliran trafik di semua jalan di Pasir Puteh menuju ke sempadan Terengganu secara umumnya lancar, kecuali sedikit kesesakan di kawasan Wakaf Lichong.

"Sekiranya terdapat aduan kesesakan, anggota kami akan menjalankan pemantauan secara berkala melibatkan pasukan trafik dan unit kereta peronda,” katanya. - Bernama