Polis nafi dakwaan ada mangsa lemas, rentung dalam letupan paip gas

Iklan
Polis mengesahkan tiada mayat atau bahagian tubuh manusia ditemui sama ada di sungai mahupun di kawasan kejadian - Foto: Bernama, gambar kecil: Hussein Omar

SUBANG JAYA - Polis Selangor menafikan dakwaan yang tular kononnya terdapat mangsa yang lemas atau rentung dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kemungkinan terdapat individu yang melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran, kira-kira 50 meter dari lokasi letupan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan maklumat itu, pasukan penyelamat telah menjalankan operasi pencarian menyeluruh dari Kuala Sungai Kelang sehingga ke kawasan sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights pada Jumaat.

Tambah beliau, pencarian melibatkan bantuan daripada Pasukan Polis Marin, unit anjing pengesan (K9), serta pasukan forensik yang menyemak kawasan sungai dan rumah-rumah kosong berhampiran lokasi letupan.

Iklan

"Setakat ini, tiada mayat atau bahagian tubuh manusia ditemui sama ada di sungai mahupun di kawasan kejadian.

"Pemeriksaan permukaan serta siasatan forensik di lokasi-lokasi berpotensi juga tidak menemui sebarang petunjuk, termasuk mangsa yang rentung,” jelasnya.

Iklan

Hussein turut memaklumkan, satu jentera ekskavator dikhuatiri terbenam di dalam kawah letupan, namun pihak polis masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat individu yang terperangkap di bawah runtuhan atau tanah.

"Oleh itu, kita perlu menunggu sehingga struktur tanah distabilkan dan air dikeringkan sepenuhnya sebelum kerja-kerja penggalian menyeluruh dapat dijalankan,” katanya.

Beliau menjelaskan, proses penstabilan itu dijangka mengambil masa dua minggu sebelum pasukan teknikal dibenarkan masuk untuk melakukan ekskavasi penuh bagi mengesan sebarang petunjuk baharu, termasuk kemungkinan mangsa masih tertimbus.