SUBANG JAYA – Laporan awal siasatan letupan paip gas di Putra Heights dijangka siap dalam tempoh dua minggu selepas kerja penstabilan tanah di kawasan terjejas diselesaikan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan teknikal daripada pelbagai agensi kini giat menstabilkan struktur tanah sebelum siasatan lanjut dapat dijalankan dengan selamat.
"Apabila kawasan sudah stabil, barulah ekskavasi boleh dilakukan bagi mengumpul bukti fizikal seperti sisa paip, bahan letupan atau komponen berkaitan.
"JKR menjangkakan dua minggu untuk laporan awal, dan dua minggu lagi untuk laporan penuh,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, keadaan cuaca turut memainkan peranan dalam kelancaran siasatan.
"Kawah letupan kini dipenuhi air akibat hujan. Proses pengeringan sedang dilakukan, namun hujan berterusan boleh menjejaskan kelajuan kerja teknikal,” katanya.
Menurut Hussein, hanya selepas air dikeluarkan dan tanah distabilkan, barulah pasukan teknikal dibenarkan masuk untuk pemeriksaan dan penggalian.
Siasatan teknikal diketuai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dengan sokongan agensi lain seperti JKR, Petronas, Jabatan Mineral dan Geosains, TNB dan bomba.
Polis pula menjalankan siasatan dari aspek jenayah bagi mengenal pasti sebarang unsur khianat atau kecuaian.
Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan kawah besar sedalam lapan meter dan selebar 70 meter, dipercayai berpunca daripada keretakan salah satu paip gas petroleum di lokasi.
"Semua agensi kini memberi komitmen penuh untuk menyiapkan siasatan mengikut jadual. Sebaik laporan lengkap, ia akan dikemukakan kepada jawatankuasa berkaitan untuk tindakan susulan,” katanya.