KDN jamin bantuan berterusan kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights

Iklan
Dr Shamsul Anuar (tengah) ditemuinya pemberita selepas melawat mangsa di PPS Masjid Putra Heights di sini pada Khamis.

SUBANG JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan untuk terus membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, termasuk menggerakkan anggota bertugas meskipun dalam tempoh perayaan Aidilfitri.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 116 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 30 kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikerahkan ke lokasi bagi memastikan keselamatan serta kelancaran urusan dokumentasi mangsa.

Iklan
Iklan

"Kita akan menilai keperluan tambahan anggota dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan diberikan secara menyeluruh," katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa PDRM akan terus mengawal kawasan kediaman yang terjejas bagi mengelakkan insiden kecurian atau pencerobohan namun, setakat ini tiada insiden seumpama itu dilaporkan.

Iklan

"Setakat ini, pihak berkuasa telah menerima 108 laporan polis untuk tuntutan insurans dan urusan berkaitan, dan jumlah itu dijangka meningkat dalam masa terdekat," jelasnya.

Dalam usaha membantu mangsa, JPN turut menawarkan gantian dokumen pengenalan diri secara percuma, termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Iklan

"Setakat ini, kita telah menyelesaikan 19 gantian kad pengenalan dan 43 cabutan sijil kelahiran, dan jumlah ini dijangka akan terus bertambah," tambahnya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih atau separuh benar mengenai insiden ini.

"Semua pihak perlu merujuk kepada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat," tegasnya.

KDN menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha menyalurkan bantuan sebaik mungkin.