JERUSALEM – Bekas juruterbang Tentera Udara Israel, Yonatan Shapira menyeru agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera, sambil menuduh negara-negara Barat menyokong genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin di wilayah tersebut.
Dalam temu bual bersama Anadolu pada Rabu, Shapira, yang meletak jawatan pada 2003, berkata, tiada angkatan tentera di rantau ini yang membunuh begitu ramai orang awam tidak bersalah seperti dilakukan oleh rejim Zionis.
"Pada mulanya, saya tidak menyedari bahawa ini adalah tindakan keganasan, namun lama kelamaan, saya sedar bahawa ia adalah serangan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Mengenang kembali serangan udara yang menyaksikan bom seberat 1,000 tan dijatuhkan ke atas rumah di kawasan padat penduduk Gaza pada waktu tengah malam, Shapira berkata, serangan itu mengorbankan ramai orang awam, kebanyakannya kanak-kanak.
"Pelaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza harus dipertanggungjawabkan. Mereka tidak boleh terlepas daripada keadilan. Mereka mesti ditangkap, disoal siasat dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup,” tegasnya.
Menurutnya, jika anggota tentera dan pegawai Israel tahu mereka akan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka, pasti mereka akan berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah kemanusiaan tersebut.
Shapira turut mengkritik sikap membisu negara-negara Barat terhadap serangan ketenteraan Israel di Gaza serta sokongan tidak langsung yang diberikan melalui pembekalan senjata dan jet pejuang kepada Israel.
"Kebanyakan negara Barat, termasuk negara Eropah, terlibat dalam genosid ini. Kegagalan mereka menghentikan sokongan kepada Israel adalah punca pembunuhan ini berterusan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh kekal diam dalam isu ini.
"Begitulah Holocaust berlaku kepada nenek moyang saya, dan begitulah genosid di Gaza berlaku sekarang,” ujarnya.
Menurut Shapira, rakyat Palestin di Gaza mengetahui dengan jelas siapa yang bertanggungjawab.
"Mereka menemui serpihan roket di dalam runtuhan dan mengenal pasti ia dibuat di UK dan AS,” tambahnya.
Shapira juga menyifatkan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai"lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang paling buruk” dan"seperti kerajaan Nazi.”
Beliau turut mengkritik pihak yang menormalisasikan hubungan dengan Israel, menyifatkan mereka sebagai turut terlibat dalam jenayah ini.
Shapira menyifatkan serangan berterusan Israel ke atas Gaza yang dimulakan pada 18 Mac lalu sebagai langkah bermotifkan kepentingan politik Netanyahu serta kes-kes rasuah terhadapnya.
"Kerajaan Netanyahu tidak peduli tentang keselamatan tebusan Israel atau rakyat Israel. Apa yang mereka pedulikan hanyalah kekal berkuasa,” katanya.
Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Gaza pada 18 Mac, mengorbankan 830 orang dan mencederakan hampir 1,800 yang lain, meskipun gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dimeterai pada Januari lalu.
Sejak Oktober 2023, lebih 50,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh, manakala lebih 113,700 cedera akibat serangan tentera Israel yang berterusan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, pada November lalu atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel kini juga berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berikutan tindakan ketenteraan mereka terhadap Gaza. - Agensi