Sempat selamatkan diri sebelum api merebak

Iklan
Bomba memeriksa sisa kebakaran sebuah bilik pada pagi Rabu.

TUMPAT - Baru sahaja menyambut Aidilfitri Isnin lalu, kegembiraan sebuah keluarga bertukar cemas apabila sebuah bilik terbakar dan memusnahkan baju raya serta barangan berharga di Kampung Bunut Sarang Burung di sini pada Rabu.

Kejadian itu berlaku sekitar jam 8.30 pagi ketika penghuni rumah sedang bersiap untuk meraikan Syawal ke-3.

Iklan
Iklan

Suri rumah, Nur Shamira Mohd Zaki, 31, berkata, dia tersedar kebakaran menimpa bilik rumah ibunya itu selepas adik perempuan berusia 11 tahun menjerit memberitahu terdapat api.

"Saya lihat api sudah marak di dalam bilik, tetapi tiada sesiapa di dalamnya.

Iklan

"Kami sempat menarik tilam dan berusaha menyimbah air untuk mengawal api sebelum bomba tiba,” katanya kepada Sinar Harian.

Kebakaran yang berlaku turut memusnahkan baju raya.

Menurut Nur Shamira, dua anaknya, termasuk bayi berusia empat bulan, sempat diselamatkan bersama ibu bapanya, Zaleha Husin, 57, dan Mohd Zaki Sanik, 62, sebelum api merebak.

Iklan

Namun, beberapa barangan berharga seperti baju raya yang baru dibeli dan dokumen penting musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Komander Operasi, Pembantu Bomba Kanan II Azameli Nordin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.39 pagi.

"Pasukan bomba Wakaf Bharu tiba di lokasi pada jam 8.50 pagi dengan bantuan BBP Tumpat.

"Kebakaran melibatkan bilik berkeluasan 11.15 meter persegi dengan kemusnahan 10 peratus dan tidak melibatkan mangsa,” katanya.

Tambah beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.05 pagi dan kerja-kerja pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.