Pemuzik jalanan perlu sokongan

Iklan
Aksi kumpulan 3D Buskers ketika membuat persembahan di tapak Ekspo Aidilfitri di Temerloh.

RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah pemuzik jalanan yang tabah dalam menghadapi kesukaran demi mencari rezeki menerusi bakat mereka.

Namun kepayahan yang ditempuh tidak menyebabkan mereka mudah mengalah, sebaliknya terus gigih mencari rezeki demi masa depan mereka.

Iklan
Iklan

Ikuti laporan wartawan ROSILAWATI ROSEDI yang menyingkap keluhan golongan ini di Temerloh, Pahang, dalam meneruskan kehidupan.

__________________________________

Iklan

BERGELAR pemuzik jalanan bukan tugas yang mudah dan perlu sabar untuk memastikan kehadiran mereka dapat diterima oleh orang ramai dan hal itu adalah antara cabaran yang dihadapi Mohd Izaanizzuddin Salleh, 34.

Anak jati Pahang itu adalah antara empat anggota kumpulan 3B Buskers yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Iklan

Menurut Mohd Izaanizzuddin, hingga kini dia melihat penduduk di daerah ini masih belum terbuka menerima kehadiran pemuzik jalanan seperti mereka.

Mohd Izaanizzuddin

"Berbanding di ibu kota Kuala Lumpur, orang ramai lebih terbuka dan menghargai bakat kami.

"Bukan saya kata semua tapi kebanyakan di sini masih belum terbuka dan khususnya orang tua anggap kehadiran kami seperti mengganggu ketenangan mereka,” katanya yang menjadikan kerjaya itu secara separuh masa setakat ini.

Dia yang mula menyertai kumpulan itu empat tahun lalu kini beraksi sebagai pemain gitar dan mengakui menghargai penglibatannya bersama 3B Buskers.

Ditanya cabaran yang dihadapi, Mohd Izaanizzuddin memberitahu, walaupun dilihat agak remeh tapi kadangkala boleh mengusik hati mereka.

"Ada penonton tidak boleh terima seperti minta perlahankan suara sebab bising tapi kami sabar dan anggap ia satu ujian dalam misi kami menghiburkan orang ramai sambil mencari rezeki,” ujarnya.

Bagi pemain cajun dan dram, Mohd Haffiq Abdullah, 22, mengakui bakat seni dalam dirinya mengalir sejak kecil dan menghargai peluang menyertai kumpulan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Mohd Haffiq

"Macam saya jadikan kerjaya ini sepenuh masa, jadi cabaran yang dihadapi sudah tentu pendapatan tidak menentu.

"Pendapatan yang diperoleh sekitar RM1,500 sebulan kerana bergantung dengan persembahan dan sumbangan pengunjung,” katanya.

Jelasnya, walaupun pendapatan yang diperoleh tidak selumayan kerjaya lain, dia tidak lemah semangat untuk meneruskan karier tersebut.

"Kami juga perlu bersaing dengan kumpulan lain untuk mencari tempat ramai pengunjung selain mendapat token daripada premis yang memanggil membuat persembahan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain bass kumpulan tersebut, Ilmi Mustakim Romdam, 19, menyifatkan antara cabaran yang sering dihadapi masalah cuaca ketika membuat persembahan.

Mustakim

"Bila hujan khususnya, kami tidak dapat membuat persembahan khususnya di lokasi terbuka.

"Selain itu, kami juga perlu berdepan saingan kerana makin banyak kumpulan ditubuhkan tapi port yang sesuai tidak banyak seperti di lokasi lain,” tambahnya.

Sementara itu Ketua kumpulan 3B Buskers, Rasyidi Romdan, 31, yang juga vokalis menyifatkan kehadiran pemuzik jalanan di daerah ini turut memberikan tarikan di Temerloh.

Rasyidi

Namun kekurangan tempat untuk mereka beraksi menimbulkan kesukaran buat mereka mencari rezeki.

"Sebab itu, pemuzik jalanan seperti kami perlu mendapat peluang dan berharap pihak berkaitan dapat mewujudkan lebih banyak lokasi sesuai untuk kami membuat persembahan.

"Jika boleh, penganjur acara yang menjadikan Temerloh sebagai lokasi program dapat menjemput kumpulan-kumpulan seperti kami untuk beraksi,” jelasnya.

Menurutnya, kewujudan lokasi yang sesuai juga memberikan peluang kepada kumpulan-kumpulan pemuzik jalanan sedia ada untuk beraksi setiap minggu.

"Buat masa ini, pihak berkuasa tempatan memberikan kerjasama baik dan mengeluarkan permit untuk membuat persembahan terbuka.

"Saya berharap peluang yang diberikan berterusan buat pemuzik jalanan di sini,” katanya.

Rasyidi mula melibatkan diri sebagai pemuzik jalanan sejak bergelar orang kurang upaya fizikal selepas mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 2011.

Dia turut berharap masyarakat lebih terbuka dan memberikan sokongan kepada mereka dalam mencari rezeki halal menerusi bidang seni.