SHAH ALAM - Terkejut melihat rambut bayi yang sudah kelihatan ketika isteri menahan sakit hendak bersalin menyebabkan seorang lelaki bergegas menghentikan kenderaan di laluan kecemasan lebuh raya.
Muhamad Uqbah Md Bahari, 36, berkata, sebaik sahaja memakir kereta, dia segera keluar untuk membantu menyambut kelahiran bayinya.
Menurutnya, hanya beberapa saat selepas itu, Isterinya Nur Azrinahanim Ramli, 37, selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keempat mereka.
"Sebenarnya, ketika isteri dalam keadaan sakit sebelum sampai di laluan kecemasan memang rambut bayi sudah kelihatan...cuma saya tidak beritahu isteri kerana bimbang jika dia teran, bayi tiada siapa yang sambut.
"Mungkin boleh jatuh ke bawah kerusi. Apabila berhenti sahaja kereta, terus saya maklumkan sudah nampak kepala bayi. Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang bapa dengan tenang menyambut kelahiran anaknya di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik pada 1 Syawal.
Berdasarkan perkongsian pengguna TikTok @ayahali9889, dia terpaksa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan, kira-kira di Kilometer (KM) 258.1 berhampiran Tol Menora, Ipoh, Perak arah selatan, selepas isterinya mengerang kesakitan.
Bercerita lanjut, Muhamad Uqbah berkata, semasa kejadian dia sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Ipoh untuk menghantar isterinya bersalin di Pusat Pakar Wanita dan Kanak-Kanak Raoofah.
"Sekitar pukul 7.43 pagi, isteri dah memberitahu sakit hendak bersalin...jadi ketika kejadian itu kami memang dalam perjalanan ke hospital.
"Sebenarnya petang satu Syawal dah boleh keluar hospital, cuma sebab isteri ada kencing manis jadi perlu pemantauan.
"Hari ini (dua Syawal) baru boleh keluar,” katanya lagi.
Dalam masa sama dia menzahirkan rasa terharu membaca komen positif yang ditinggalkan oleh pengguna media sosial.
Sehubungan itu dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan isteri serta anaknya.