Dua anjing Rottweiler pernah serang orang awam dua tahun lalu

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai empat cedera akibat diserang anjing terlepas.

BALING - Dua ekor anjing jenis Rottweiler yang menyerang empat individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil awal pagi Selasa mempunyai sejarah serangan terhadap seorang mangsa dua tahun lalu.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya berkata, siasatan awal mendapati anjing yang sama pernah terlibat dalam insiden serangan pada tahun 2023, menyebabkan kecederaan seorang lelaki.

Iklan
Iklan

Katanya, berkaitan kejadian terbaru ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Daerah Baling (MDB) dengan kerjasama pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya difahamkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MDB, dan polis akan memulakan siasatan esok,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam masa yang sama Yazlan menegaskan, walaupun pemilik anjing mempunyai lesen untuk memelihara Rottweiler namun baka anjing jenis itu tidak dibenarkan dipelihara di kawasan perumahan.

"Berdasarkan maklumat awal, lesen anjing Rottweiler itu didaftarkan untuk premis perniagaan pemiliknya. Oleh itu, kita akan menyiasat mengapa anjing-anjing ini disimpan di rumahnya.

Iklan

"Itulah sebabnya saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyiasat kaedah pengendalian anjing tersebut dan mengambil tindakan terhadap pemiliknya. Biarkan jabatan itu menjalankan siasatan terlebih dahulu,” katanya.

Yazlan turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap anjing berlesen kerana bidang kuasa mereka hanya merangkumi anjing.

"Saya akan memanggil pemiliknya kemudian untuk menentukan sama ada anjing-anjing itu perlu dipindahkan ke lokasi lain, ditempatkan di pusat perlindungan haiwan, atau dimatikan mengikut garis panduan dan peruntukan undang-undang yang betul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar mengesahkan menerima laporan tentang serangan anjing berkenaan.

Beliau berkata, laporan terbabit dibuat oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) Pekan Lama, Kuala Ketil.

"Bagaimana pun setakat ini polis belum menerima laporan daripada mangsa yang terbabit memandangkan mereka masih dirawat di hospital.

"Pihak kami dimaklumkan, dua ekor anjing itu dipercayai terlepas daripada pemiliknya dan berkeliaran pada jam 5.45 pagi sebelum anggota polis dari rondaan cegah jenayah (RCJ) Kuala Ketil bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, kesemua anjing berkenaan sudah dikurung oleh pemiliknya ketika itu namun dia diminta untuk menyerahkan anjing berkenaan kepada pihak Veterinar Kulim untuk pemeriksaan dan kuarantin dengan kadar segera," ujarnya.

Media sebelum itu melaporkan sekurang-kurangnya empat individu cedera selepas digigit dua ekor anjing yang terlepas dari rumah pemiliknya di Taman Desa Bicara, Kuala Ketil, pada Selasa.

Exco Kerajaan Tempatan Negeri, Mansor Zakaria berkata, mangsa diserang anjing berkenaan di luar surau di kawasan perumahan terbabit.