KUALA PILAH - Seorang aktivis masyarakat temui ajal ketika berjalan kaki untuk menunaikan solat Subuh di masjid Kampung Bemban, Senaling di sini, pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Syed Ridwan Syed Othman, 40, yang merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Briged Negaraku dikatakan dirempuh lori dari arah sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
"Kejadian membabitkan lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 31 tahun dan pejalan kaki di Kilometer (KM) 19 Jalan Senaling-Kampung Kepis, di sini.
"Lori berkenaan dari arah Kuala Pilah menuju Bukit Rokan dan melanggar pejalan kaki dari arah sama di bahu jalan yang dalam perjalanan ke masjid untuk solat subuh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala pejalan kaki cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kuala Pilah.
"Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.