DI penghujung bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mendekati sastera dalam kitab suci al-Quran. Diturunkan di tengah masyarakat yang mencintai syair.
Dan al-Quran telah mengatasinya dengan i’jas dan mukjizatnya. Keajaiban al-Quran terletak pada genrenya yang tersendiri.
Tidak terstruktur sebagai syair tetapi terasa seperti puisi dan bukan prosa tetapi terasa geraknya sebagai prosa.
Ayat-ayatnya bebas, ada yang memiliki rentak, namun diikat oleh rima. Rimanya juga tidak rigid, namun terasa gelombang dan wazannya.
Semuanya membina keindahan al-Quran yang paralel dengan naluri, tetapi bertentangan dengan impulsif manusia. Ternyata ia bukan ciptaan manusia.
Di dalamnya mengandung ayat-ayat muhkamah iaitu hukum-hukum dan banyak sekali cerita dan amsal.
Antara ceritanya ialah asal usul Nabi Adam yang hidup di syurga mendapat ujian lalu tercampak ke dunia. Rasulullah bersabda, mafhumnya:"Sesungguhnya ALLAH SWT menciptakan Adam daripada seluruh unsur tanah, maka anak cucu Adam lahir menurut kadar tanah tersebut, ada yang berkulit merah, putih, hitam atau di antara warna-warna tersebut. Ada yang mudah atau susah dan ada yang jelek dan ada yang baik.” (Riwayat Tirmizi).
Cerita Nabi Musa dengan Firaun banyak kali diulang, tetapi dengan pencitraan berbeza dan gaya berbeza. Kisah Ashabul Kahfi, Zulkarnain dan Ashabul Ukhdud antara peristiwa menarik.
Cerita-cerita itu bagi orang-orang Arab disebut sebagai asatir awwalin, dongeng masa silam. Tetapi sebenarnya cerita-cerita itu jejak pada sejarah. Khalayak mengunjungi kurun-kurun yang silam untuk mendapatkan ibrah dan istinbatnya.
Dalam Surah Taha ayat 99, ALLAH berfirman yang maksudnya:"Demikianlah Kami ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami sebagai peringatan.”
Nabi Ibrahim AS dengan keteguhan imannya menghadapi segala rintangan dan dugaan. Nabi Ayub AS dihadapkan dengan segala kesukaran, tetapi mempunyai sifat kesabaran yang tinggi.
Nabi Yusuf AS termaklum dengan segala keperitan dalam perjalanan hidupnya, namun semuanya disambut dengan sifat ikhlas dan ketulusan.
Kemuncak dan puncak semuanya ialah apa yang dihadapi oleh Nabi Junjungan Muhammad SAW baik di Makkah mahu pun di Madinah, semuanya membentuk akhlaknya yang tinggi lagi budiman.
Peristiwa al-Qurani itu diceritakan tepat sesuai dengan sejarah hayat manusia. Kisah sejarah itulah yang menjadi sumber kekuatan dan suntikan motivasi kepada Rasulullah SAW.
Kedua, al-Quran mencitrakan tentang watak manusia yang bukan nabi atau rasul; tetapi ada hubungannya dengan kerasulan seperti peristiwa gadis kudus Siti Maryam, Lukman al-Hakim dan Iskandar Zul Qarnain.
Siti Maryam yang melahirkan Nabi Isa AS, Kisah Lukman al-Hakim dengan nasihat kepada para remaja dan kisah Iskandar Zul Qarnain membawa kepada kebijaksanaan.
Kisah manusia tersembunyi dalam lipatan sejarah itu, menjadi bayangan dan tunjuk ajar dalam pendakwahan.
Keindahan sastera dalam al-Quran tersembunyi di sebalik pengaplikasian bahasanya. Apabila kita membaca amat terasa keindahan itu, tetapi amat sukar pula untuk menjelaskan keindahan yang kita rasakan itu. Surah al-Rum, ayat 22, yang mafhumnya:"Dan daripada tanda-tanda kebesaran ALLAH ialah menjadikan langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi orang yang berilmu.”
Rasulullah amat mencintai bahasa yang indah, baginda gemar mendengar syair-syair yang indah.
Kekuatan karya sastera di bawah tanggapan baginda ialah terletak pada susunan bahasanya, dan bertambah indah dengan isinya yang baik.
Sebuah syair yang bermutu tinggi ialah terletak pada bahasa dan isinya. Kandungannya yang baik itu adalah refleksi daripada bahasanya yang indah.
Sastera al-Quran, pertamanya pada uslubnya dengan lafaz atau diksinya yang betul, tepat, sesuai dan jelas mengikut mauduknya.
Ayat-ayatnya tersusun dengan fasih, murni, kukuh, menarik dan mempesonakan, sehingga mempengaruhi rasa dan fikiran khalayak. Maknanya pula terhidang secara terbuka atau terikat, tersurat atau tersirat.
Kedua, pada cara penyampaiannya, dikemukakan dengan bersistem dan teratur, supaya mubalaghahnya indah.
Menggunakan pelbagai teknik, seperti majaz, istiarah dan tasybih iaitu fuguratif, metafora dan simile. Istiarah memiliki tiga dimensi iaitu tasyrikhiyah, asliyah dan tabaiyah; iaitu yang menyerupai, asli dan konvensional.
Dengan itu terhasillah makna atau semantik yang selapis atau berlapis, bukan sahaja tepat dan jitu, tetapi juga baik, jujur dan selari paksi Islami.
Ketiga, pada aspek fasahah dan balangah. Fasahah merujuk kepada kalimah sahih, tanbih, hasan dan matin; juga sesuai dengan situasi dan maksud, berpengaruh dan mempesonakan.
Estetik fasahah menjauhi daripada lafaz yang mengelirukan atau merosakkan, kata-kata yang sengaja dikaburkan, dan hanya sebagai hiasan atau idafah serta mengelakkan perulangan membazir.
Balaghahnya menggunakan pelbagai cara penyampaian seperti unsur ibarat, riwayat dan silsilah. Sama ada ungkapannya pendek atau panjang, ia mempunyai unsur yang mengagumkan, mengajaibkan dan menghairankan.
Balaghahnya memperlihatkan karya yang qudus dan merentas rasa nubari bagi membangunkan indera akal untuk berfikir.
Keempat, estetika seni sastera al-Quran terletak kekuatannya pada menjelaskan aspek kebenaran.
Jalinan sastera yang indah dengan bahasa yang kukuh, membolehkan kebenaran yang hendak dikemukakan bertakhta di jiwa manusia.
Istiarah, tasybih dan majaz sebagai jambatan kebenaran, supaya sampai dan berkesan memenuhi tuntutan dakwah dan tabligh al-din syumuli.
Amsal banyak diketemui dalam kitab suci al-Quran. Sesungguhnya, ketinggian bahasa al-Quran adalah antara mukjizatnya dan amsal ialah salah sebuah i’jaznya. Takrifan amsal ialah perbandingan, umpama dan ibarat.
Perkataan amsal adalah jamak daripada kata masal. Dalam bahasa Melayu ia dipakai dengan perkataan misal, terletak dalam korpus peribahasa yang mengandungi simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah-petitih.
Dalam konteks sastera moden, kita menemui metafora, simile, mitonimi, analogi, ikon, indek dan lambang, yang membawa pengertian kemiripan dan keserupaan.
Tujuan amsal untuk menjelaskan makna ayat-ayat surah al-Quran, di samping menyambahkan pemikiran dan mengembangkan gagasan.
Amsal al-Qurani itu mengandungi hikmah dan ibrah, kukuh, tepat dan indah, yang mengajar manusia untuk memahami rahsia i’jaz firman-firman ALLAH.
Demikian keindahan al-Quran pada sifat genrenya, aspek cerita di dalamnya, aplikasi bahasanya dan unsur amsal yang menjadi misalan dan ibrah kepada kaum Muslimin.
Kesemuanya membina keindahan al-Quran sebagai mukjizatya, yang membenarkan risalah junjungan-Nya Muhammad SAW.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia