Gempa bumi: Pulau Pinang tidak terkesan, Komtar direka tampung gempa

Iklan
Kon Yeow (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima bakul makanan sempena program Jualan Rahmah Madani Parlimen Batu Kawan yang diadakan di Taman Merak pada Sabtu.

BATU KAWAN - Semua struktur bangunan di Pulau Pinang termasuk dua jambatan di negeri ini tidak terkesan berikutan kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Tun Abd Razak (Komtar) juga selamat berikutan struktur binaannya yang direka berupaya mengelakkan kemalangan sekiranya berlaku gempa bumi dan gegaran.

Iklan
Iklan

"Setakat ini di Pulau Pinang masih tidak terkesan oleh insiden (gempa bumi) semalam.

"Komtar memang ada dibina dengan mengambil kira gempa bumi termasuk jambatan-jambatan kita...reka bentuk struktur bangunan dan jambatan kita dapat menampung gegaran pada skala tertentu, jadi semuanya selamat dan tidak terkesan," katanya ketika ditemui pemberita di Program Jualan Rahmah Madani Parlimen Batu Kawan di Taman Merak di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan penduduk di sekitar Pulau Pinang dilaporkan merasai gegaran ringan susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada tengah hari Jumaat.

Difahamkan, antara kawasan yang merasai gegaran tersebut adalah Komtar, bangunan Livingstone dan di beberapa kawasan Butterworth.

Iklan

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ketika kejadian beliau sedang mempengerusikan mesyuarat bersama wakil rakyat di Bilik Gerakan di Komtar pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, beliau tidak merasai sebarang gegaran namun beberapa wakil rakyat lain mengakui merasa pening akibat kejadian gempa bumi itu.

"Semalam saya di Bilik Gerakan Komtar nak mula mesyuarat bersama wakil rakyat... saya sebenarnya tak merasakan apa-apa tetapi Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif dan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim kata mereka ada rasa.

"Bagaimanapun tak lama kemudian saya terima banyak mesej yang bertanyakan mengenai kejadian ini termasuk dari anak sendiri dan memaklumkan mereka turun dari bangunan selepas merasai gegaran," katanya.

Ditanya mengenai pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di beberapa buah bangunan di negeri ini, Kon Yeow berkata, ia ada prosedur biasa terutamanya selepas berlaku insiden seperti gegaran.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa menjalankan kerja-kerja sedemikian..mungkin kalau tak berlaku insiden kerja-kerja mereka tidak diberi perhatian tetapi sememangnya ini lazim dilakukan oleh mereka khusus selepas kejadian maka kerja-kerja pemeriksaan ini penting," ujarnya.