SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan dan ribut petir bakal melanda di beberapa kawasan pada Aidilfitri tidak lama lagi.
Agensi itu memaklumkan, negeri terlibat akan mengalami hujan serta ribut petir pada sebelah pagi, petang dan malam sepanjang dua hari iaitu 31 Mac dan 1 April.
"Pada pagi 31 Mac, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak (Sarikei dan Mukah).
"Sementara pada pagi 1 April, cuaca sama turut diramal melanda Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta bahagian barat Johor," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu MetMalaysia turut menjangkakan hujan serta ribut petir bakal melanda lebih banyak kawasan pada sebelah petang.
Justeru menurutnya, 10 negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak serta Sabah diramalkan akan mengalami keadaan cuaca tersebut pada 31 Mac.
"Pada 1 April, ribut petir dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
"Bagi cuaca malam, hujan serta ribut petir dijangka berlaku di Pahang dan Sabah (Tawau) pada 31 Mac manakala Terengganu, Pahang serta Sabah (Sandakan dan Tawau) hujan beserta ribut pada 1 April," menurutnya.
Sementara itu MetMalaysia menjelaskan, tiada perancangan untuk mengeluarkan sebarang amaran waspada mahupun ribut berbahaya dalam tempoh beberapa hari.
Malaysia kini katanya, berada dalam fasa Monsun Peralihan yang dijangka berterusan sehingga Mei sebelum memasuki Monsun Barat Daya.
"Fasa peralihan ini dicirikan dengan hujan lebat berserta ribut petir pada waktu petang hingga awal malam terutama di kawasan barat Semenanjung, pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Hujan lebat beserta angin kencang akan berlaku di mana-mana kawasan yang terlibat pada waktu petang tetapi bersifat sementara," jelasnya.
Setakat ini, MetMalaysia menjangkakan tidak akan ada sebarang perubahan laporan cuaca bagi tiga hari seterusnya termasuklah pada hari Aidilfitri itu kelak.
Orang ramai yang pulang ke kampung halaman atau melakukan aktiviti luar dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan baik serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca semasa.