KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi teguran sebanyak tiga kali kepada peniaga belon tidak berlesen yang didakwa dikasari petugas di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Jumaat.
DBKL memaklumkan, penjaja tersebut mula bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa ketika teguran ketiga diberikan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan anggota penguat kuasa berpakaian preman menenangkan dan cuba memisahkan penjaja terbabit daripada mengasari petugas untuk mengelakkan kemungkinan lain daripada berlaku.
"Kehadiran penjaja tanpa lesen di laluan pejalan kaki Jalan TAR telah menyebabkan kesesakan dan menghalang pergerakan orang ramai terutama ketika musim persiapan sambutan Aidilfitri.
"Seperti amalan biasa, DBKL akan memberikan teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan tersebut.
"Tetapi seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali, malah bertindak agresif ketika teguran kali ketiga," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.
Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang individu, namun suasana bertukar menjadi kecoh selepas peniaga dipercayai tidak memberi kerjasama.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian.
"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. DBKL akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat.
"Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak dari berlaku.
"Satu laporan polis juga telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum.
"Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.
"Kawasan Jalan TAR merupakan lokasi tumpuan ramai, lebih-lebih lagi untuk membuat persiapan akhir menyambut Syawal dan DBKL bertanggungjawab memastikan keselamatan, kelancaran pergerakan orang awam serta pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
"DBKL memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan selain turut menyeru agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi," katanya.