KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen 5.25 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM514.20 juta, bagi tahun kewangan 2024 (TK2024).
Pengagihan dividen berkenaan meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada tahun 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.
Agihan tersebut memberi manfaat kepada 125,014 pencarum yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, ia juga menyaksikan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar lima peratus mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan transformasi LTAT tahun ini membolehkan kadar dividen yang mampan dan lebih kompetitif, mencerminkan kestabilan serta keupayaan institusi itu untuk terus berkembang demi kesejahteraan pencarum.
Menurutnya, pengumuman dividen tersebut turut menjadi satu simbol kepercayaan dan keyakinan Kementerian Pertahanan terhadap hala tuju LTAT.
"Prestasi kewangan LTAT bagi tahun 2024 terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
"Ia adalah bukti bahawa setiap usaha yang telah dilaksanakan oleh LTAT memberikan impak nyata kepada para pencarum,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan, LTAT mencapai pencapaian luar biasa dengan merekodkan pendapatan belum diaudit melebihi RM752.6 juta dan keuntungan bersih melebihi RM587.5 juta bagi TK2024.
Lebih membanggakan katanya, rizab LTAT terus mengukuh kepada RM1 bilion menjelang akhir tahun 2024, hasil daripada pertumbuhan keuntungan tahunan yang kukuh serta usaha berterusan dalam mengurangkan kerugian daripada portfolio pelaburan legasi.
"Angka-angka ini bukan sahaja mengatasi rekod tahun sebelumnya, tetapi juga membuktikan keupayaan LTAT untuk terus berkembang teguh dan meningkatkan semula kedudukan kewangannya,” katanya.
Dalam pada itu katanya, bagi memperkasakan portfolio pelaburan, LTAT telah mengambil langkah strategik dengan memperkenalkan pelan penambahbaikan hala tuju Kumpulan Boustead, iaitu Project Earth.
Ujarnya, pelan tersebut dirangka secara holistik dan komprehensif dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan untuk memastikan keberkesanannya.
Menurut Mohamed Khaled, kejayaan LTAT bukan sekadar kejayaan sebuah institusi, tetapi juga kejayaan ATM serta jaminan masa depan untuk generasi yang akan datang.
Oleh itu katanya, semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada LTAT untuk terus melaksanakan perancangannya dengan berkesan demi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
"Meskipun LTAT merupakan sebuah dana pelaburan, impaknya jauh melangkaui angka dan pulangan,” katanya.
Tegas beliau, LTAT adalah nadi yang menggerakkan kesejahteraan anggota ATM, memastikan aspirasi Kementerian Pertahanan dapat direalisasikan dengan jayanya.
"Kementerian Pertahanan akan terus memberikan sokongan penuh kepada LTAT dalam memastikan setiap langkah yang diambil sejajar dengan keperluan pencarum dan kepentingan strategik negara.
"Saya yakin pengumuman ini membawa berita gembira kepada semua pencarum dan terus memperkukuh keyakinan anggota ATM kita bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab.
"Pada masa yang sama, kita akan terus mengukuhkan peranan LTAT sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, sekali gus memperluaskan sumbangan dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang memberi manfaat besar kepada pencarum dan negara,” tambah beliau.
REAKSI
"Pengumuman kadar dividen bagi 2024 yang meningkat amat menggembirakan setelah dividen beberapa tahun sebelum ini rendah dan meningkat tahun demi tahun. Saya berharap pencarum akan terus mencarum supaya dapat bersama-sama LTAT dalam usaha meningkatkan kewangan dan dividen akan datang." - Ketua Platun 7RMD, Leftenan Hafiz Ikhwan Zahid, 27
"Saya sudah mencarum sejak 18 tahun, memang bersyukur dan gembira dengan pengumuman kadar dividen yang naik bagi 2024. Terima kasih LTAT, harap prestasi terus stabil dan dividen terus naik setiap tahun. Naik sedikit pun alhamdulillah." - Paramedik ATM, Sarjan Mohamad Nur Shahizzad,38
"Saya gemira dengan kenaikan dividen yang diumumkan, semoga ia memberi manfaat kepada semua warga ATM dan pencarum." - Ketua Staf MK RAJD PMBTD, Leftenan Kolonel Ahmad Sabare Jamaludin, 46