SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertahankan keputusan mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar sekolah mulai 21 April depan.
Kementerian itu juga menegaskan bahawa langkah tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata inisiatif itu tidak seharusnya dilihat sebagai langkah simbolik semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai satu usaha bersepadu untuk memperkukuh identiti nasional.
Menjawab kebimbangan ibu bapa mengenai kos tambahan, beliau memberi jaminan bahawa kementerian telah mengambil kira perkara tersebut dengan menyediakan dua lencana percuma kepada setiap pelajar.
"Kementerian memahami kebimbangan ibu bapa mengenai kos tambahan. Oleh itu, setiap pelajar akan menerima dua lencana Jalur Gemilang secara percuma," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Kah Woh menjelaskan bahawa lencana tersebut adalah jenis pin dan bukan tampalan jahit, bagi memastikan ia mudah digunakan dan boleh dipakai dengan lebih daripada satu jenis pakaian seragam sekolah.
Mengulas mengenai isu keselamatan yang dibangkitkan terutama risiko kecederaan semasa aktiviti sukan, Kah Woh berkata kebimbangan itu adalah sesuatu yang boleh dikawal.
"Saya bertanya kepada anak perempuan saya yang telah memakai lencana pengawas selama dua tahun, sama ada dia pernah cedera akibat pemakaian lencana tersebut. Jawapannya tidak," ujarnya.
Kah Woh menambah, sekiranya terdapat keperluan untuk penyesuaian, kementerian akan meneliti perkara tersebut bagi memastikan kesejahteraan pelajar terjamin.
Berdasarkan pekeliling dikeluarkan KPM dua hari lalu, pemakaian lencana Jalur Gemilang diwajibkan bagi semua pelajar di institusi di bawah KPM, termasuk sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Bagaimanapun, institusi pendidikan lain digalakkan untuk mengamalkan dasar ini.
Keputusan itu telah mendapat kelulusan kabinet pada 14 Februari lalu, selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan jati diri nasional dalam kalangan rakyat sejak peringkat awal pendidikan.
Sehubungan itu, langkah ini turut menerima pelbagai reaksi dengan sesetengah pihak mempersoalkan keberkesanannya dalam menanamkan semangat patriotisme atau sekadar tindakan simbolik.
Mengulas perkara itu, Kah Woh mengakui terdapat pelbagai pandangan, namun menegaskan bahawa usaha ini perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sebagai satu langkah terasing.
"Ada yang berpendapat KPM perlu lebih fokus kepada pengukuhan patriotisme dalam silibus pendidikan. Namun, ini bukan isu 'zero-sum game'.
"Pendidikan patriotisme boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara, termasuk menerusi inisiatif simbolik seperti ini," katanya.
Beliau berharap pelaksanaan pemakaian lencana ini dapat berjalan lancar dan diterima baik oleh semua pihak sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kecintaan terhadap negara.