Dr Zaliha perjelas sebab isu kuil tidak dibawa ke mahkamah

Iklan
Dr Zaliha bertemu dengan wakil pengurusan kuil ketika Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani oleh Jakel di ibu kota pada Khamis. FOTO FACEBOOK/ Dr Zaliha Mustafa.

SHAH ALAM - Tiada keperluan bagi syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) membawa isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India Kuala Lumpur ke mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, ini kerana pembinaan Masjid Madani sudah pasti tidak boleh dilaksanakan dengan kadar segera, malah bakal mengambil masa lama untuk selesai jika dibawa ke muka pengadilan.

Iklan
Iklan

"Jika dibawa ke mahkamah, sudah pasti masjid itu tak boleh dibina sekarang dan ia akan mengambil masa lama lagi.

"Ambillah pendekatan yang berhemah dalam memberi pandangan. Jika boleh selesai dengan kaedah perundangan, kenapa daripada dahulu tidak diselesaikan?

Iklan

"Islam itu agama hikmah," katanya menjawab komen netizen di salah satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Anwar ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani oleh Jakel di ibu kota pada Khamis. FOTO FACEBOOK/ Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian menangkis dakwaan wargamaya kononnya kerajaan menghalang syarikat tekstil terbabit untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan kuil berkenaan.

Iklan

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel memaklumkan, pihaknya menyambut baik nasihat Dr Zaliha yang memintanya berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan isu tersebut dibimbangi menjadi besar hingga menyentuh sensitiviti kaum.

Jelas Mohamed Faroz, usaha pembinaan masjid di tapak berkeluasan 12,142 kaki persegi itu telah dimulakan pada 2009, dengan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya lagi, surat tawaran rasmi dikeluarkan pada 6 Ogos 2012 diikuti bayaran deposit 10 peratus sebelum perjanjian jual beli dengan DBKL ditandatangani dan bayaran baki diselesaikan pada 2014.

Terdahulu, Menteri Digital merangkap Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo memberitahu, tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan digazetkan mengikut undang-undang atas nama jawatankuasa kuil, berkeluasan 4,000 kaki persegi dan terletak kurang 100 meter daripada lokasi sedia ada.

Difahamkan, pihak pengurusan kuil pada petang Isnin bersetuju agar rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berpandangan, Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani oleh Jakel pada Khamis merupakan detik bersejarah yang melambangkan kemenangan hikmah, kesabaran dan prinsip keutamaan dalam menyelesaikan satu pertikaian.

"Alhamdulillah, akhirnya pembinaan masjid ini dapat diteruskan setelah sekian lama tertangguh. Inilah kejayaan pendekatan hikmah yang berpaksikan maqasid syariah dan fiqh al-awlawiyat.

"Dalam menilai isu ini melalui lensa fiqh al-awlawiyat, jelas bahawa keutamaan diberikan kepada maslahat umat Islam untuk memiliki masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti, menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta memastikan imej Islam terus terpelihara sebagai agama rahmah.

"Jika isu ini boleh diselesaikan melalui kaedah perundangan, tidakkah ia sepatutnya dibuat sejak dahulu lagi? Tak perlu mengambil masa sehingga berbelas tahun untuk dileraikan," ujar beliau lagi.