AirAsia sahkan tiada kebakaran enjin pada penerbangan AK128

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai sebuah pesawat AirAsia yang membawa 171 orang dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China melakukan pendaratan cemas akibat kebakaran enjin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Khamis.

SEPANG - AirAsia mengesahkan tiada kebakaran enjin berlaku pada penerbangan AK128 yang melakukan pendaratan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2) tengah malam tadi, kira-kira dua jam setelah berlepas.

Menurut kenyataan pada Khamis, AirAsia memaklumkan penerbangan AK128 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China pada Rabu, terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal pada satu daripada enjin yang mencetuskan isyarat luar biasa.

Iklan
Iklan

"AirAsia mengesahkan tiada kebakaran enjin berlaku.

"Hasil pemeriksaan mendapati isyarat itu berpunca daripada masalah kerosakan saluran udara atau duct yang menyebabkan udara panas dilepaskan, memerlukan pesawat itu kembali ke pangkalan untuk dibaiki. Pesawat itu dijangka beroperasi semula pada 31 Mac ini," menurut kenyataan itu.

Iklan

AirAsia memaklumkan sepanjang kejadian terbabit, juruterbang mengikuti prosedur ditetapkan dan memohon keutamaan pendaratan untuk memastikan keselamatan semua penumpang dan anak kapal.

"Pesawat itu mendarat tanpa sebarang insiden di KLIA Terminal 2 pada jam 12.06 tengah malam dan kesemua 171 penumpang serta enam anak kapal turun dengan selamat dan mereka dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas pada jam 3.46 pagi.

Iklan

"Penerbangan gantian itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao'an pada jam 7.51 pagi, 27 Mac," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo dalam kenyataan sama berkata, tiada kebakaran enjin berlaku pada pesawat terbabit seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

"Kru penerbangan bertindak pantas dan mengambil langkah sewajarnya mengikut protokol keselamatan dan operasi yang ditetapkan.

"Juruterbang dan anak kapal dilatih dengan baik untuk mengendalikan situasi seperti ini dan pesawat mendarat dengan selamat serta tiada kejadian lain berlaku selepas prosedur berkaitan dilakukan," katanya.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Malaysia Airports, pasukan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan pihak berkuasa keselamatan berkaitan atas kerjasama dan tindak balas pantas.

"Kami juga berterima kasih kepada penumpang AK128 atas kesabaran dan pemahaman mereka dan memastikan penerbangan gantian segera disediakan untuk menyambung perjalanan mereka.

"Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami dan AirAsia komited dalam mengekalkan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan kesejahteraan penumpang dan kru pada setiap masa," kata Voo.

Terdahulu, media tempatan melaporkan penerbangan AirAsia dalam perjalanan ke Shenzhen terpaksa berpatah balik ke KLIA Terminal 2 sejurus berlepas dipercayai akibat kebakaran enjin. - Bernama