KUALA LUMPUR - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mendapat perhatian rakyat apabila memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran secara langsung dalam program"Geng Ngaji" musim ke-6.
Dalam program disiarkan khas sempena Ramadan, baginda berkenan membaca Surah Fussilat ayat 44 bersama Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Al Makki, serta barisan qari dan qariah terkenal seperti Fakhrul Radhi dan ustazah Sofizah Mousin melalui aplikasi Skype.
Bacaan baginda yang merdu dan penuh ketenangan bukan sahaja memukau penonton tetapi turut mendapat pujian ramai, termasuk daripada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
"Masa pergi haji, sempat kami mengaji bersama di Madinah. Memang Tengku Permaisuri pandai mengaji dan suaranya lemak merdu. Alhamdulillah,” tulis Tunku Azizah di laman Instagram.
Di samping itu, para penonton yang menyaksikan siaran langsung turut membanjiri media sosial dengan komen positif, memuji kelembutan suara baginda serta kesungguhan dalam mendalami ilmu al-Quran.
Dalam sesi itu, Tengku Permaisuri Selangor turut menitipkan nasihat bermakna kepada rakyat Malaysia, khususnya mereka yang sedang berusaha memperbaiki bacaan al-Quran.
"Jangan risau jika kita masih belajar. Bacalah walaupun satu ayat sehari, kerana amalan ini akan menjadi pendamping dan syafaat kita di akhirat kelak," titah baginda.
Baginda juga menggalakkan rakyat agar mendapatkan bimbingan daripada guru-guru yang berkelayakan bagi memastikan bacaan al-Quran dilakukan dengan betul dan lancar.
Kehadiran Tengku Permaisuri Selangor dalam program ini bukan sekadar memperindah suasana Ramadan, tetapi juga menjadi inspirasi kepada rakyat untuk lebih dekat dengan al-Quran.
Momen penuh makna ini boleh ditonton semula di laman Instagram rasmi @selangorroyalofficial, di mana rakaman bacaan baginda telah dikongsikan kepada umum.