'Scammer' ubah suai poster platform e-dagang jerat pengguna

Iklan
Setakat ini, satu laporan polis telah diterima di Selangor melibatkan kerugian RM3,006.03.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan taktik penipuan baharu yang dipercayai menyasarkan mangsa menjelang sambutan Aidilfitri dengan mengubah suai poster pada platform terkenal e-dagang.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sindiket itu dikesan mengubah suai poster promosi platform e-dagang itu dengan meletakkan nombor telefon mangsa kononnya sebagai pemenang peraduan.

Iklan
Iklan

"Mangsa kemudian akan dihubungi oleh ahli sindiket dan diminta mengaktifkan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) bagi menebus hadiah kemenangan tersebut.

"Selepas ia diaktifkan, mangsa akan menerima kod QR yang perlu diimbas, namun, selepas berbuat demikian, mereka mendapati wang dalam akaun bank telah berkurangan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Rohaimi berkata, setakat ini, satu laporan polis telah diterima di Selangor melibatkan kerugian RM3,006.03.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Rohaimi turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan pembelian dalam talian menjelang musim perayaan.

"Sejak 1 Januari hingga 24 Mac lalu, sebanyak 2,328 kes penipuan belian dalam talian telah direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM19.6 juta.

"Ini menunjukkan peningkatan 36.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 1,700 kes dengan kerugian RM13.6 juta,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Jangan mudah percaya dengan tawaran yang terlalu murah atau promosi yang kelihatan terlalu menarik. Gunakan platform e-dagang yang dipercayai dan mempunyai ciri keselamatan.

"Sentiasa semak ulasan serta komen daripada pembeli lain sebelum membuat pembelian. Pastikan barang yang dijual mempunyai jumlah jualan yang munasabah," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar menyemak nombor akaun dan nombor telefon penjual melalui portal Semak Mule sebelum membuat pembayaran.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket penipuan ini diminta tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa," katanya.