MP Gopeng sangkal Rais Yatim, tegaskan pertubuhan adalah berdaftar dan sah

Iklan
Kar Hing

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing membidas kenyataan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang membuat tuduhan terhadap pertubuhan penyatuan semula China sebagai kumpulan tidak berdaftar dan mempromosikan komunisme di negara ini.

Kar Hing menegaskan, organisasi dikaitkan dengan penyebaran ideologi komunisme sebenarnya berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Rais sepatutnya bergantung kepada fakta sahih sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan dalam masyarakat.

"Beliau gagal melakukan semakan fakta sebelum membuat tuduhan terhadap sebuah organisasi sah. Beliau mendakwa sebuah organisasi disebutnya sebagai Malaysia One-China Peaceful Reunification Promotion Association (Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia) menyebarkan ideologi komunisme.

Iklan

"Namun, nama sebenar pertubuhan dimaksudkan beliau adalah Persatuan Pendukung Hubungan Diplomatik Malaysia-China, merupakan sebuah organisasi sah dan berdaftar.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak bersikap rasional dalam membincangkan isu ini dan memastikan segala kenyataan berasaskan fakta bagi mengelakkan salah faham serta 'ketegangan tidak perlu' dalam masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

Iklan

Sebelum ini, Rais menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah pertubuhan dikatakan mempromosikan penyatuan semula China dan Taiwan sambil mempersoalkan sama ada kumpulan itu cuba menyebarkan ideologi komunisme.

Rais, yang juga bekas Menteri Luar dan Penerangan mendakwa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi selepas menerima satu rakaman video mengenai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, organisasi tersebut menghantar laporan tahunan seperti ditetapkan undang-undang dan berperanan memperkukuhkan hubungan persahabatan serta pertukaran budaya antara Malaysia dan China.

"Saya berpendapat tuduhan dibuat Rais berpunca daripada sebuah video yang tidak dapat disahkan kesahihannya.

"Dalam keadaan tiada bukti kukuh, melemparkan tuduhan berat terhadap sebuah organisasi sah bukan sahaja boleh menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat tetapi juga berpotensi merosakkan reputasi serta operasi persatuan.

"Tuduhan tanpa bukti seperti ini mengingatkan saya kepada era ‘McCarthyism’ di Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dingin di mana individu dan kumpulan tertentu ditekan serta ditindas hanya kerana dilabel dengan ideologi tertentu,” ujarnya.

Kar Hing yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan menambah, tuduhan tersebut bercanggah prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kedaulatan undang-undang.

Beliau turut mengingatkan hubungan Malaysia dan China sudah lama terjalin dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, teknologi serta budaya.

"Malah, China merupakan rakan dagang terbesar negara dan banyak universiti serta institusi penyelidikan tempatan membina kerjasama jangka panjang dengan institusi di China.

"Dalam keadaan dunia semakin tidak menentu ini, saya ingin menegaskan sebagai pemimpin masyarakat, kita mesti hati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak timbul ketegangan dalam masyarakat,” katanya.