Jepun larang warga emas guna telefon di ATM, elak jadi mangsa penipuan

Iklan
Jepun mengambil langkah drastik membanteras penipuan kewangan dengan melarang warga emas menggunakan telefon semasa melakukan transaksi ATM.

TOKYO - Jepun mengambil langkah drastik membanteras penipuan kewangan dengan melarang warga emas menggunakan telefon semasa melakukan transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Memetik media Japan Today, langkah itu diperkenalkan di Wilayah Osaka, antara kawasan paling teruk terjejas akibat jenayah ‘penipuan khas’ atau ‘tokushu sagi’ yang menyasarkan warga emas dengan modus operandi memperdaya mereka melalui panggilan telefon, internet atau surat.

Iklan
Iklan

Larangan tersebut termasuk dalam undang-undang baharu yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Perhimpunan Wilayah Osaka pada 24 Mac lalu.

Selain itu, semua premis yang mempunyai mesin ATM diwajibkan memaparkan poster mengingatkan pelanggan supaya tidak menggunakan telefon semasa berurusan di ATM.

Iklan

Kerajaan tempatan turut menetapkan had pemindahan wang bagi warga emas tidak melebihi 100,000 yen (RM2,949) sehari bagi mengurangkan risiko mereka ditipu.

Premis yang menjual kad prabayar pula dikehendaki memastikan pelanggan tidak berisiko menjadi mangsa penipuan sebelum membuat pembelian.

Iklan

Bagaimanapun, undang-undang tersebut tidak mempunyai hukuman sekiranya gagal dipatuhi, namun bank dan perniagaan dijangka mengambil serius arahan tersebut demi menjaga imej korporat serta tanggungjawab sosial mereka.

Menurut media berkenaan, penipuan seperti itu telah lama menjadi masalah serius di Jepun dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada warga emas yang ditipu oleh sindiket menyamar sebagai ahli keluarga, pegawai kerajaan atau pihak berkuasa.

Pada Januari lalu, kes penipuan ini menunjukkan sedikit penurunan dengan kerugian dicatatkan sebanyak 8 bilion yen (RM236 juta) berbanding 14 bilion yen (RM413 juta) pada bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap undang-undang tersebut dengan ada yang berpendapat langkah tersebut bersifat menindas dan menghalang kebebasan warga emas dalam menguruskan kewangan mereka.

Sebahagian lain pula menyokong peraturan itu dengan menyatakan bahawa penipuan kewangan adalah isu yang kompleks dan memerlukan langkah drastik untuk membanterasnya.

Menurut Japan Post yang turut berfungsi sebagai bank, pihaknya sudah mula menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan pengguna ATM yang bercakap di telefon, dengan kemungkinan teknologi yang sama digunakan untuk mengenal pasti usia pelanggan.

Jelasnya, walaupun langkah itu tidak dapat menghapuskan jenayah penipuan sepenuhnya, ia diharapkan dapat mengurangkan jumlah mangsa dalam kalangan warga emas dan melindungi mereka daripada kehilangan wang akibat diperdaya sindiket penipuan.