SHAH ALAM - Sinar Harian dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) melancarkan kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil yang bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, kempen amal itu memberi tumpuan kepada tabung kutipan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan segera di IJN.
"Nama pesakit diberikan sendiri oleh pihak IJN melibatkan keluarga kurang berkemampuan dan setiap sumbangan terkumpul akan diserahkan sepenuhnya 100 peratus kepada IJN.
"Bagi memastikan kempen ini mencapai sasaran jumlah dana diperlukan mengikut kos pembedahan, kutipan dana akan dijalankan selama hampir dua bulan bagi setiap pesakit bergantung kepada tempoh hari berbaki sebelum tarikh pembedahan.
Ujar beliau, tabung pertama dibuka bermula 26 Mac hingga 4 Mei ini melibatkan pesakit berusia tujuh tahun, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.
Menurutnya, kutipan sumbangan itu hanya dibuka selama 41 hari kerana pembedahan Ventricular Septal Defect Closure and Resection of Infundibular Stenosis ke atas kanak-kanak tersebut telah dijadualkan pada 10 Mei ini.
"Selain memberi bantuan kewangan, kempen ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit jantung kongenital termasuk pesakit kanak-kanak dan kebiasaannya perlu pembedahan segera,” ujarnya.
Tambah Zamri, Sinar Harian turut membuka peluang kepada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian untuk turut serta menjadi penaja dalam kempen tersebut.
"Kempen ini adalah usaha penting bagi memastikan kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung mendapat peluang menjalani kehidupan lebih sihat.
"Marilah kita sama-sama membantu kanak-kanak ini dan meringankan beban ibu bapa mereka. Sumbangan anda amat bermakna untuk masa depan anak kecil ini,” kata Zamri.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 564276529068 dan hubungi talian 03-51017388 sekiranya ada sebarang pertanyaan.