KUANTAN - Pegawai Imigresen didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua tuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM600, dua tahun lalu.
Rohaizi Ismail, 51, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara satu bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rohaizi yang ketika itu bertugas di Jabatan Imigresen Negeri Pahang, telah menerima wang berjumlah RM600 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Suapan itu diterima daripada pengusaha pusat hiburan dan pusat refleksologi sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan proses permit pekerja-pekerja asing.
Tertuduh didakwa menerima suapan RM300 secara berasingan pada 15 Mei dan 30 Julai 2022 di sebuah cawangan bank di Jalan Bukit Ubi, di sini.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin, difahamkan menjelaskan denda RM1,500 yang dikenakan bagi setiap pertuduhan dihadapi.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.