KAJANG - Sebanyak 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama di seluruh Selangor sepanjang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagi melancarkan aliran lalu-lintas, pihaknya menugaskan seramai 71 pegawai dan 646 anggota trafik bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
"Kita akan menggerakkan aset sebanyak 49 buah kereta peronda polis dan 87 unit rondaan bermotosikal bagi mengawal lalu lintas di lebuh raya seluruh Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban di sini, pada Selasa.
Hussein berkata, tujuh lokasi operasi perangkap had laju sudah ditetapkan dan 18 lokasi Ops Lancar di Seluruh Selangor akan dijalankan antaranya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Plaza Tol Gombak.
"Selain itu di kilometer (km) 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Jalan Klang-Teluk Intan di Kuala Selangor, Jalan Kuala Selangor-Rawang, Jalan Klang-Teluk Intan dan Plaza Tol Sungai Besi,” katanya.
Hussein berkata, Polis Selangor dan agensi berkaitan sentiasa bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan lebih daripada kebiasaan.
"Kita akan sentiasa berada di jalan raya bagi membantu melancarkan dan mempermudahkan orang ramai menggunakan jalan raya sepanjang musim perayaan ini," katanya.
Selain itu katanya, cuti kesemua pegawai dan anggota JSPT Selangor sudah dibekukan menjelang Aidilfitri bagi menjamin kelancaran lalu-lintas selain menjaga keselamatan awam.