KUALA LUMPUR – Tular di media sosial sebuah video memaparkan tindakan seorang peniaga bazar Ramadan yang didakwa menyimpan lebihan makanan jualan dengan hanya menutupnya menggunakan alas kanvas.
Video berdurasi 31 saat itu menunjukkan makanan jenis ‘cucuk-cucuk’ yang masih belum digoreng dibiarkan di atas meja semalaman sebelum dijual semula kepada pelanggan keesokan harinya.
Menurut seorang pengguna TikTok, kejadian yang dipercayai dirakam pada pagi Selasa itu berlaku di sebuah bazar Ramadan di Cheras dan bukan kali pertama peniaga berkenaan berbuat demikian.
"Tidak boleh sangka baik sebab dari minggu lepas buat macam ini," tulisnya pada ruangan kapsyen video tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen mengecam tindakan peniaga itu serta mempersoalkan tahap kebersihan makanan yang dijual.
"ALLAH, tikus tidak datang ke waktu malam dan tidak busuk ke?" soal seorang pengguna.
Seorang lagi netizen meluahkan rasa kesal terhadap peniaga terbabit yang didakwa menjual makanan lama kepada pelanggan.
"Macam mana boleh bagi orang makan? Saya jual burger, kalau tersilap buat pun tidak bagi orang simpan, makan sendiri sahaja.
"Rasa tidak seronok bagi orang makan makanan yang sudah sejuk atau lama," tulisnya.
Sementara itu, seorang pengguna TikTok memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cheras telah membuat pemantauan di tapak bazar berkenaan dan mengambil tindakan susulan.
"Maklumat baharu, pada 12 tengah hari, saya nampak KKM sudah buat pemeriksaan di tapak ini. Laju KKM buat kerja," katanya.