RWG lancar Gemilang Genting Culinary Classic 2025 sempena ulang tahun ke-60

Iklan
Spencer (empat dari kiri) bergambar bersama maskot Genting Highlands, Tabby the Tiger dan Benny the Entertainer sebagai sebahagian daripada gimik pelancaran Genting Culinary Classic 2025, hasil kerjasama dengan HAPA.

GENTING HIGHLANDS - Resorts World Genting (RWG) melancarkan Genting Culinary Classic 2025 bersempena ulang tahun ke-60 serta sambutan Jubli Intan syarikat itu.

Pertandingan kulinari berprestij tersebut akan berlangsung pada 10 dan 11 Jun 2025 di Genting International Showroom (GISR).

Iklan
Iklan

Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, pihaknya turut memperkenalkan Program Tourist Privilege yang menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada pelancong antarabangsa sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Sebagai sebahagian daripada sambutan Jubli Intan pada tahun ini, kami berbesar hati memperkenalkan Genting Culinary Classic 2025 dan Program Tourist Privilege yang selaras dengan usaha kami untuk memartabatkan industri hospitaliti serta pelancongan Malaysia.

Iklan
(Dari kiri) Spencer Lee, Ahmad Husni dan CC Yeap bergambar bersama maskot Genting Highlands Heroes, Tabby the Tiger dan Benny the Entertainer, sebagai sebahagian daripada gimik pelancaran Program Tourist Privilege.

"Kerjasama ini mengukuhkan visi kami untuk menjadikan Malaysia dan RWG sebagai destinasi utama kecemerlangan kulinari serta pengalaman pelancongan bertaraf dunia,” katanya dalam majlis pelancaran acara tersebut, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Kebudayaan dan Warisan, Ahmad Husni Ahmad Basri; Pengasas merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Hospitality Asia Platinum Awards (HAPA), Jennifer Ong; Naib Presiden Eksekutif Awana, Peter Foster dan Ketua Pengurusan Penyewaan RWG, CC Yeap.

Iklan

Menurut Spencer, pemeliharaan warisan kulinari Malaysia amat penting bagi menginspirasi generasi baharu dalam dunia gastronomi.

Beliau menambah, acara ini menjadi platform berprestij untuk mengetengahkan bakat dari dapur rumah, bintang baharu restoran, peminat kulinari serta profesional industri.

Bagi memastikan piawaian tertinggi dalam pelaksanaan acara itu, RWG bekerjasama dengan HAPA selaku penganjur rasmi.

"Ia memberi peluang kepada peserta untuk mempersembahkan kemahiran, kreativiti dan dedikasi dalam meraikan keunikan masakan Malaysia.

"Dengan kepakaran HAPA dalam penganjuran acara bertaraf dunia serta sokongan Tourism Malaysia, acara tahunan ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi kulinari global.

"Selain membuka peluang kerjaya kepada chef berbakat, ia turut merangsang inovasi serta kolaborasi dalam industri hospitaliti,” ujarnya.

Spencer berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua dan pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang rwgenting.com.

Seramai 20 finalis chef akan dipilih berdasarkan kualiti, inovasi dan kreativiti hidangan mereka untuk bersaing di peringkat akhir.

Lima pemenang utama bakal membawa pulang gelaran berprestij serta hadiah wang tunai, manakala juara kebangsaan akan menerima hadiah utama bernilai RM25,000.

"Pertandingan ini akan dinilai oleh panel juri berprestij yang terdiri daripada lima pakar kulinari terkenal, termasuk chef selebriti dan pengkritik makanan tersohor.

"Pemenang turut berpeluang menampilkan hidangan mereka di rangkaian restoran bertaraf dunia di RWG, sekali gus meninggalkan legasi dalam arena kulinari Malaysia,” katanya.

Sementara itu, sebagai sokongan kepada inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, RWG memperkenalkan Program Tourist Privilege yang menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pelancong antarabangsa.

Pelancong hanya perlu menunjukkan pasport antarabangsa yang sah di Kaunter Info di Aras Satu SkyAvenue untuk menikmati pelbagai manfaat eksklusif.

Kaunter beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dan pelancong akan menerima Kit Istimewa Program Tourist Privilege yang menawarkan hadiah eksklusif, diskaun serta promosi istimewa.

Namun, jumlah kit adalah terhad dan orang ramai disarankan mendapatkannya segera bagi menikmati pengalaman premium tersebut.

Bagi maklumat lanjut mengenai acara dan pengalaman eksklusif lain, layari rwgenting.com atau ikuti saluran media sosial rasmi RWG.