KUALA LUMPUR - Touch 'n Go menerusi kerjasama World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) memperkenalkan rantai kunci Touch 'n Go Charm Wildlife Edisi 2025 bagi meningkatkan kesedaran dan sebagai sumbangan dana untuk pemuliharaan hidupan liar yang terancam.
Pengerusi (Touch 'n Go), Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata, charm atau rantai kunci yang dilengkapi teknologi near field communication (NFC) itu direka khas dengan spesies diancam kepupusan seperti orang utan Borneo, harimau Malaya, gajah Borneo dan penyu.
Menurutnya, ia turut disertakan dengan penanda buku khas yang memaparkan fakta penting mengenai spesies berkenaan bagi membantu meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan.
"Sebahagian daripada hasil jualan rantai kunci ini akan digunakan untuk menyokong usaha pemuliharaan WWF-Malaysia dan membantu perlindungan spesies dan habitat ini.
"Dengan menjadikan pemuliharaan hidupan liar sebahagian daripada transaksi harian tanpa tunai, kami memberikan peluang baharu kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan secara mudah, selesa dan berkesan.
"Kami percaya, inovasi ini bukan sekadar untuk memudahkan kehidupan tetapi perlu membawa perubahan bermakna. Rantai kunci ini bukan sekadar kaedah pembayaran tetapi juga peringatan terhadap tanggungjawab kita bersama untuk melindungi spesies terancam di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Charms for Change di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi WWF-Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata, rantai kunci itu bukan sekadar aksesori bergaya, namun berfungsi sepenuhnya sebagai alat pembayaran tanpa tunai Touch 'n Go yang direka dengan praktikal, mudah dipasang pada beg atau dompet.
"Ia akan memudahkan akses dan pembayaran tol, pengangkutan awam dan tempat letak kereta. Proses penambahan nilai juga kini mudah melalui fungsi NFC dalam aplikasi Touch 'n Go eWallet.
"Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tindakan proaktif dalam melindungi hidupan liar Malaysia yang terancam.
"Rantai kunci edisi 2025 ini boleh didapati pada harga RM35 setiap satu bermula pada 20 Mac 2025 melalui kedai atas talian rasmi Touch 'n Go Malaysia di Shopee Mall, Lazada dan di Pusat Jualan dan Servis Touch 'n Go di Nu Sentral serta Bangsar South," ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Abdul Wahid, hidupan liar di negara ini berdepan dengan ancaman yang semakin serius akibat kehilangan habitat, penebangan hutan dan pemburuan haram.
Beliau berkata, sekiranya tidak bertindak sekarang, generasi akan datang mungkin hanya dapat mengenali spesies tersebut melalui gambar semata-mata.
"Inisiatif ini contoh terbaik bagaimana organisasi korporat dan pihak yang terlibat dalam pemuliharaan alam dan hidupan liar boleh bekerjasama untuk menghasilkan impak nyata.
"Dengan memiliki rantai kunci ini, rakyat Malaysia boleh menunjukkan keprihatinan mereka terhadap usaha melindungi biodiversiti negara dan bersedia mengambil langkah kecil tetapi bermakna bagi memastikan spesies ini kekal wujud di habitat semula jadi," katanya.